SERDANG - Satu siasatan dalaman akan dilakukan oleh pihak polis berhubung dakwaan mengatakan agensi itu terlibat dalam menasihati pengurusan sebuah sekolah untuk menurunkan pemasangan hiasan bagi sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, buat masa ini, siasatan tersebut sedang giat dilakukan dan tindakan selanjutnya berhubung kes tersebut akan diambil selepas itu.
Beliau berkata, polis juga menerima dua laporan sebelum ini yang dibuat oleh orang awam melibatkan isu berkenaan.
"Setakat ini, pihak kami sedang menjalankan siasatan dalaman. Jika betul ada (penglibatan pegawai atau anggota polis), tindakan tatatertib akan dikenakan kepada pihak berkenaan," katanya pada sidang media yang berlangsung di IPD Serdang hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pemasangan hiasan yang dianggap keterlaluan bersempena sambutan Tahun Baru Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1.
KPM berkata, hiasan tersebut dibuat bersempena dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan sekolah itu dipilih berikutan menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Kaligrafi Cina Selangor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador juga memaklumkan bahawa pihaknya sudah mengarahkan siasatan dilakukan terhadap penulis sepucuk surat yang dilaporkan mengkritik hiasan perayaan di sekolah berkenaan.
Mengulas lanjut, Ismadi berkata, pihaknya sudah memanggil beberapa individu untuk dirakam percakapan antaranya termasuklah Naib Presiden Parti Bumiputera Perkara Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
"Beberapa individu telah dipanggil untuk membantu melengkapkan kertas siasatan dan ia akan dirujuk kepada pendakwa raya selepas ini untuk tindakan lanjut," katanya.
Katanya, pihaknya turut meminta kerjasama orang awam supaya dapat memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan selanjutnya berhubung kes itu.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.