SHAH ALAM - Demi memenuhi minat sejak zaman persekolahan, Fatin Farina Nazlan, 35, tekad meninggalkan dunia perbankan untuk menceburi bidang solekan dan penata hijab.
Lebih dikenali sebagai Kak Paten KP, beliau berkata, kerjaya itu bermula daripada usaha penjenamaan persendirian selama hampir empat tahun sebelum hasil kerjanya dikenali ramai.
"Saya memang minat dengan solekan dan menjadi jurusolek atau dikenali sebagai MUA (makeup artist), tetapi pada 2016 saya terlihat hantaran yang dibuat oleh seorang pengasas tudung terkenal sedang mencari penata hijab.
"Kebetulan ketika itu saya memang aktif hasilkan video tutorial tudung, jadi kawan mencadangkan supaya saya mengambil tugasan berkenaan. Dari situlah bermula kerjaya tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Fatin Farina, beliau menghadiri tujuh kelas solekan bagi mengasah bakat dalam bidang berkenaan tetapi tidak pernah mengambil kursus sebagai penata hijab kerana memilih untuk belajar sendiri.
Ujarnya, video tutorial yang sering dimuat naik oleh jurusolek di Instagram sering dijadikan sebagai panduan untuk beliau mempelajari tips solekan dan penggayaan tudung.
Fatin Farina turut berkongsi pengalaman tidak dapat dilupakannya sepanjang berkhidmat sebagai penata hijab yang bernilai antara RM80,000 hingga RM150,000.
"Saya terima tawaran daripada syarikat tudung eksklusif dan berjenama dan kebanyakan tudung yang saya gayakan kepada model bernilai puluhan hingga ratusan ribu ringgit.
"Itu adalah pengalaman yang paling tidak dapat lupakan sehingga kini. Saya sangat bersyukur kerana hasil daripada kerja ini juga, saya mampu memberikan kesenangan kepada keluarga,” katanya.
Mengulas lanjut, Fatin Farina berkata, ibu dan adik-adiknya merupakan individu yang sering menjadi tempat untuknya meluah perasaan apabila berhadapan dengan sebarang masalah selain suami.
Menurutnya, kata-kata semangat yang sering diucapkan oleh ibu menjadi penguatnya untuk terus kuat dan berusaha sehingga berada di tahap ini.
"Mak selalu cakap ‘mak percaya kamu mesti boleh’ dan saya sentiasa ingat ayat tersebut setiap kali berada di titik terendah dalam hidup.
"Kepada wanita diluar sana, jangan pernah berhenti berusaha dan yang penting ALLAH tahu niat kita. Selagi kita utamakan keluarga, ALLAH pasti mudahkan urusan dan lancarkan rezeki kita,” ujar Fatin Farina.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28