SHAH ALAM – Tindakan segelintir rakyat yang sanggup membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk menyambut hari raya boleh menjerat diri mereka dalam keadaan bahaya kerana dikhuatiri akan menanggung hutang sampai ke mati.
Pakar kewangan, Shamsuddin Kadir berkata, pinjaman itu akan ditanggung hingga ke akhir hayat sekiranya gagal dibayar dalam tempoh ditetapkan apatah lagi bagi mereka yang sudah mempunyai komitmen lain seperti pinjaman perumahan dan kenderaan.
Katanya, jika diambil kira hutang pinjaman rumah dan kereta itu sebenarnya sudah cukup berat dan beri beban kepada majoriti peminjam, namun mereka sekurang-kurangnya masih boleh bernafas.
"Tapi kalau ada pula pinjaman lain seperti pinjaman peribadi memang sukar untuk bernafas lebih-lebih lagi kalau pinjaman itu dibuat setiap kali menyambut raya dan tempohnya panjang sekurang-kurangnya lima dan 10 tahun.
"Dalam tempoh untuk buat bayaran semula pinjaman itu, kalau buat pinjaman peribadi lain pula akan berlaku pertindihan dan keadaan ini yang membuatkan ramai tidak mampu nak bayar hutang-hutang mereka.
"Bermaksud akan dibelenggu hutang sampai ke mati,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ketibaan bulan puasa dan disusuli sambutan Hari Raya Aidilfitri dipercayai mendorong peningkatan ketara jumlah permohonan pinjaman yang direkodkan pada Januari tahun ini.
Kenanga Research melalui nota penyelidikannya berkata, pertambahan itu menyaksikan sebanyak 40 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, lebih parah jika peminjam turut mempunyai hutang kad kredit dan skim ansuran mudah.
Menurutnya, bagi hutang kad kredit yang gagal dibayar dalam tempoh ditetapkan, hutangnya akan berlanjutan sehingga 32 tahun dan peminjam bakal menanggung kadar faedah berganda setiap empat tahun.
"Misalnya kalau hutang RM4,000, ia akan jadi RM16,000 dalam tempoh empat tahun berikutnya.
"Saya juga baru jumpa semalam seorang peminjam yang hutang kad kreditnya dah jadi RM400,000 daripada hutang asal RM80,000,” ujarnya.
Shamsuddin menegaskan, situasi meminjam semata-mata untuk beraya menunjukkan kecelaruan minda sebahagian rakyat kerana sanggup berhutang demi perkara yang tidak wajib dalam Islam.
Tambahnya, majoriti orang Islam terutama kaum Melayu tersungkur dalam pengurusan kewangan disebabkan hutang raya dan hutang untuk majlis perkahwinan.
Justeru, beliau menggesa orang ramai merujuk kembali rukun Islam yang menyatakan ibadah haji sekalipun hanya diwajibkan kepada mereka yang mampu dan tidak dibenarkan berhutang.
"Kalau nak pergi haji pun dilarang berhutang inikan pula untuk sambut raya.
"Oleh itu berbelanja secara berhemah semasa Ramadan dan Aidilfitri. Jangan boros dan membazir,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28