LAHAD DATU - Dua lelaki maut selepas kereta yang mereka naiki terjunam ke laut dalam kejadian di Batu 7, Kampung Payang, di sini pada malam Sabtu.
Dalam kejadian itu, mayat mangsa dikenali sebagai Edwin, 25, dan bapa mentuanya, Chan Wai Hou, 66, ditemukan pasukan penyelamat pada kedalaman 12 meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.50 malam.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 18 kilometer dari BBP Lahad Datu.
"Menurut maklumat, berlaku kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi yang terbabas sendiri dan terjunam ke dalam laut di mana terdapat dua mangsa terlibat yang belum dijumpai.
Sumsoa berkata, pencarian mangsa kedua diteruskan dengan menarik keluar kereta tersebut ke kawasan yang lebih cetek.
"Tindakan seterusnya adalah dengan mengikat tali pada kereta untuk ditarik menggunakan sistem takal ke kawasan yang lebih cetek untuk mencari mangsa yang kedua.
"Selaman kedua dilakukan oleh pasukan bomba menggunakan set penyelam milik syarikat dan mangsa kedua berjaya ditemukan pada jam 1.31 pagi. Kedua-dua mangsa ditemui pada kedalaman 12 meter dan sejauh 15 meter dari tebing mereka terjunam," katanya.
Tambah beliau lagi, kedua-duanya telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 1.58 pagi," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28