DBKL tutup operasi pusat sembelihan ayam tanpa lesen, kotor

Iklan
Air yang digunakan untuk membersihkan ayam tidak diganti secara berkala.

KUALA LUMPUR - Sebuah pusat sembelihan ayam membabitkan tiga syarikat berlainan di Kampung Cheras Baru dekat sini diarahkan tutup serta merta selepas pemeriksaan mendapati ia beroperasi dalam keadaan kotor dan tidak berlesen.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan oleh Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar pada Sabtu turut mendapati kesemua pekerja yang terdiri daripada warga asing didapati tiada suntikan typhoid serta tiada sijil pengendalian makanan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengusaha turut tidak mengambil berat dalam aspek pematuhan kebersihan apabila ayam yang telah diproses diletakkan di atas lantai yang kotor.

Longgokan kotoran ayam yang dibiarkan bertaburan di lantai.

"Pusat sembelihan ini juga didapati tidak mempunyai 'water treatment plant yang sesuai dan air digunakan untuk membersihkan ayam juga tidak diganti secara berkala," katanya menurut perkongsian di Facebook.

Iklan

Seramai 21 petugas Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar terlibat dalam serbuan tersebut.

Susulan itu katanya, sebanyak tiga notis perintah penutupan premis dikeluarkan di bawah UUK 28 (1) Undang-undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan berkuat kuasa serta-merta.

Sisa darah sembelihan ayam dialirkan terus ke longkang awam.

Iklan

"Selain itu tiga kompaun di bawah Seksyen 47(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, dua kompaun di bawah seksyen 23(3)(b) dan tiga kompaun di bawah seksyen 33(3) UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 turut dikeluarkan kepada pihak operator.

"DBKL juga akan merujuk kes ini kepada Jabatan Agama Islam, Jabatan Alam Sekitar serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tindakan susulan," katanya.