Ejekan bakar semangat Liverpool

Iklan
Gol tunggal Nunez (kiri) minit akhir permainan membolehkan Liverpool mengutip tiga mata di City Ground. Foto Agensi

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui ejekan peminat Nottingham Forest terhadap Darwin Nunez telah membangkitkan motivasi The Reds untuk meraih kemenangan di City Ground.

Nunez yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-60 menerima ejekan dan sorakan berbaur hinaan berterusan daripada peminat tuan rumah.

Iklan
Iklan

Namun, jaringan tunggal penyerang Uruguay itu pada minit kesembilan masa kecederaan membolehkan The Reds untuk terus kekal di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh peminat Forest.

Iklan

"Perbuatan mereka gagal melunturkan semangat Darwin mahu pun pemain Liverpool lain yang beraksi di atas padang.

"Pada akhirnya, Darwinlah yang ketawa besar kerana jaringannya memberikan kami kemenangan," ujar Klopp.

Iklan

Mengulas lanjut gol Nunez yang dianggap kontroversi, Klopp berkata:"Saya tidak faham kenapa Forest marah sangat. Ia sama seperti di babak pertama bukan?

"Memang sama, cuma terbalik. Saya menerimanya kerana ia berlaku di babak pertama juga.

"Jika tidak berlaku, saya juga pasti akan mempersoalkannya."

Jaringan Nunez membuatkan Forest berang selepas pengadil, Paul Tierney memberhentikan permainan sebelum gol berkenaan kerana kecederaan kepala pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate.

Tierney meniup wisel ketika Forest sedang menyerang di kawasan Liverpool dan selepas Konate pulih, pengadil memberikan bola kepada penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher, yang kemudian memulakan gerakan untuk gol Nunez.

Di awal permainan, Tierney menghentikan serangan Liverpool selepas kapten Forest, Ryan Yates terkena sepakan Harvey Elliot dan permainan diteruskan dengan penjaga gol tuan rumah, Matz Sels memulakan serangan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28