PONTIAN - UMNO disaran membuka 'war room' di enam Parlimen susulan pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diluluskan parti itu, pada Sabtu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, persediaan awal perlu dilakukan di Parlimen Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar, Labuan, Bukit Gantang dan Tanjong Karang.
Ahmad yang juga Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat turut menjangkakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak berdepan masalah untuk meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu sebagaimana yang dilakukan UMNO sebelum ini.
"Selaku Setiausaha Agung UMNO, sebelum ini, berdasarkan pengalaman melalui pindaan perlembagaan parti tahun lalu, jika segalanya (pindaan) dibuat teratur dan mengikut syarat, maka kebiasaannya RoS akan meluluskan pindaan berkenaan.
"Jadi saya jangkakan RoS akan meluluskan pindaan Perlembagaan Bersatu itu.
"Oleh itu, UMNO yang sebelum ini bertanding di enam kerusi Parlimen itu, perlu proaktif dan membuat persiapan rapi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan membuka 'war room' di enam Parlimen itu.
"Mengikut pengalaman sebelum ini, selepas terima kelulusan RoS berkaitan pindaan perlembagaan, parti akan hantar perutusan kepada Speaker Dewan Rakyat memaklumkan mengenai kekosongan kerusi, sesuai dengan Akta Anti Lompat Parti," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bengkel penerangan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan Pengucapan Awam UMNO Bahagian Pontian, di sini, pada Ahad.
Pada Sabtu, Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada Sabtu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian bagi ahli Parlimen yang menyokong pihak lawan.
Pindaan berkenaan melibatkan tambahan tiga perkara baharu dalam Fasal 10 Perlembagaan Bersatu.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan kelulusan itu, keahlian ahli parti yang menyokong pihak lawan akan terhenti selepas pindaan perlembagaan itu diluluskan RoS.
Enam ahli Parimen Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor berkata, kesemua enam kerusi Parlimen yang menjadi pertikaian itu ditandingi parti berkenaan pada pilihan raya sebelum ini.
"Semua kerusi itu memang milik UMNO dan kita bertanding kerusi berkenaan sebelum ini," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28