IPOH - MK Land Holding Berhad (MK Land) telah berjaya membina hampir 9,000 unit rumah mampu milik di Perak sejak tahun 2003.
Pengerusi Eksekutif MK Land, Tan Sri Felina Mustapha Kamal berkata, projek-projek pembinaan rumah mampu milik menjadi keutamaan pihaknya walaupun terdapat projek rumah kos sederhana dan pasaran terbuka yang turut dilaksanakan di negeri ini.
Menurutnya, terbaharu projek pembangunan perumahan pasaran terbuka dibangunkan MK Land iaitu Carnelian 1 yang dibangunkan di Taman Klebang Putra telah berjaya memenuhi impian 90 individu untuk memiliki kediaman sendiri.
"Kami di MK Land akan terus menawarkan projek-projek pembangunan perumahan yang bukan sahaja berkualiti tinggi malah menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dalam menawarkan produk terbaik kepada rakyat Perak.
"Ini juga selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang mahu lebih ramai rakyat Malaysia dan Perak memiliki kediaman sendiri," katanya ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Rumah Teres Setingkat Carnelian 1 di Taman Meru Perdana 2 di sini pada Ahad.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng.
Mengulas lanjut, Felina berkata, projek perumahan Klebang Putra merupakan sebahagian daripada lebih 2,000 unit meliputi perumahan mampu milik, pasaran terbuka dan komersial yang berjaya disiapkan MK Land.
Menurutnya, selain Klebang Putra, syarikat hartanah itu sedang membangunkan Balsa yang merupakan projek 74 unit rumah teres dua tingkat di Meru Perdana, di sini berkeluasan 1,601 kaki persegi.
Jelasnya, anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek perumahan terbaharu itu sebanyak RM39 juta.
Sementara itu pada majlis berkenaan, seramai 10 pemilik rumah menerima kunci yang disampaikan Sandrea.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28