Dashboard Perumahan Perak siap tahun ini

Iklan
Sandrea (tengah) bertanyakan sesuatu kepada penerima kunci rumah sempena Majlis Penyerahan Rumah Teres Setingkat Carnelian 1 di Taman Meru Perdana 2 di sini pada Ahad.

IPOH - Dashboard Perumahan Perak yang akan mengatasi masalah rumah tidak terjual di Perak dijangka siap pada tahun ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, Dashboard Perumahan Perak dibangunkan bagi mengumpulkan semua maklumat berkaitan keperluan perumahan di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembangunan program tersebut telah pun dimulakan tahun lalu menerusi perbincangan dengan pihak berkaitan dari segi teknologi dan sistem yang akan diguna pakai.

"Maklumat ini juga dapat membantu pemaju memberi panduan kepada mereka dalam merancang perumahan akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Rumah Teres Setingkat Carnelian 1 di Taman Meru Perdana 2 di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Eksekutif MK Land Holding Berhad, Tan Sri Felina Mustapha Kamal.

Sandrea berkata, selain Dashboard Perumahan Perak, pemaju juga perlu mengambil kira data dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) sebelum membangunkan projek-projek perumahan di negeri ini bagi mengelak rumah tidak terjual.

Iklan

Sementara itu, beliau menjelaskan pada tahun ini juga kerajaan negeri akan memberi fokus untuk memenuhi keperluan perumahan di beberapa kawasan pembangunan berimpak tinggi seperti di kawasan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan sebagainya.

Menurutnya, perancangan awal juga akan dibuat di kawasan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian supaya keperluan perumahan dapat disediakan mengikut kesesuaian serta permintaan.

Jelas Sandrea, sebagai mengambil iktibar daripada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, kerajaan negeri akan berusaha bersungguh-sungguh dan menggalakkan semua pihak berkepentingan termasuk pemaju dan kontraktor untuk menyediakan lebih banyak rumah berkualiti dengan harga mampu dimiliki rakyat Perak.