Pas sementara Sabah bukan untuk beri kewarganegaraan: KDN

Iklan
Kementerian Dalam Negeri (KDN)

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan Pas Sementara Sabah (PSS) bukan untuk memberikan kewarganegaraan kepada pemegang pas berkenaan.

KDN berkata, PSS bertujuan menyeragamkan kepelbagaian dokumen yang dimiliki oleh warga asing di Sabah iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang masing-masing dikeluarkan tiga agensi iaitu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah.

Iklan
Iklan

"Kerajaan ingin menegaskan bahawa status pemegang PSS adalah kekal sebagai warga asing dan bukan satu jaminan untuk diberikan permit masuk, taraf pemastautin sementara, pemastautin tetap atau kewarganegaraan," kata KDN dalam kenyataan, di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan isu pelaksanaan PSS yang sering dimainkan di media sosial oleh pihak-pihak tertentu yang menyelewengkan fakta sehingga berlaku kekeliruan.

Iklan

Menjelas lanjut, KDN berkata mulai 1 Jun 2020, pengeluaran PSS hanya akan dilaksanakan oleh JIM Negeri Sabah setelah permohonan diperakukan Kerajaan Negeri Sabah.

"Proses semakan silang di antara agensi pengeluar iaitu JIM, JKM Sabah dan MKN Sabah telah dilaksanakan bagi memastikan pemohon yang memegang dokumen yang tulen sahaja layak untuk dikeluarkan PSS," katanya.

Iklan

KDN berkata, PSS adalah satu inisiatif murni kerajaan untuk menangani masalah pemalsuan dokumen di Sabah.

Katanya PSS dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan nombor identiti (ID) bagi memudahkan proses pengecaman, semakan dan pengesahan semasa operasi penguatkuasaan dijalankan.

"Di samping itu, pelaksanaan PSS juga akan membolehkan pihak berkuasa mengesan dan memantau keberadaan serta pergerakan pemegang dokumen ini. Hal ini akan membolehkan pihak kerajaan merekodkan data yang dikemas kini, teratur dan sahih," jelasnya.

Menurut KDN, Pasukan Petugas Khas juga telah ditubuhkan di peringkat negeri Sabah yang dipengerusikan secara bersama oleh JKM Sabah dan MKN Sabah dengan dianggotai oleh pelbagai agensi bagi meningkatkan tadbir urus yang berkesan dalam pelaksanaan dasar dan pemantauan operasi PSS. - Bernama