MAKAF janji elaun bulanan jika atlet duduki ranking lima terbaik dunia

Iklan
Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menjanjikan imbuhan elaun bulanan kepada atlet yang berjaya menduduki ranking lima terbaik dunia. Gambar fail

PETALING JAYA - Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menjanjikan imbuhan elaun bulanan kepada atlet yang berjaya menduduki ranking lima terbaik dunia, bermula tahun ini.

Iklan
Iklan

Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, langkah berkenaan diambil badan induk itu dalam usaha memberikan tonik tambahan kepada atlet agar berusaha lebih gigih untuk menampilkan prestasi cemerlang pada masa akan datang.

Setakat ini atlet karate negara, C Shahmalarani berada di ranking ke-20 dunia dan Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik di tempat ke-40.

Iklan

"Elaun bulanan dari MAKAF akan diberi selagi atlet berkenaan mampu mengekalkan kedudukan tersebut...ini sebagai menghargai pencapaian mereka,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Tahunan MAKAF 2024, di sini pada Ahad.

Terdahulu dalam majlis sama, Nur Azmi menyerahkan insentif daripada MAKAF berjumlah RM20,000 kepada lima atlet yang berjaya menyumbang pingat buat negara pada tahun 2023 dan awal 2024.

Iklan
Lima atlet berkenaan adalah atlet kumite Muhammad Arif, Shahmalarani, Lovelly Ann Roberth, Niathalia Sherawinnie Yampil dan Naccy Elly Evvaferra Rojin.

Muhammad Arif sebelum ini merangkul emas kategori kumite individu lelaki 84 kilogram (kg) pada Sukan Asia Hangzhou 2022 manakala Shahmalarani memperoleh pingat emas acara wanita bawah 50 kilogram di Kejohanan Karate 1 Siri A Persekutuan Karate Dunia (WKF) di Larnaca, Cyprus, bulan lepas.

Lovelly Anne pula telah menghadiahkan pingat perak acara kata wanita pada Sukan Asia Hangzhou 2022 dan merangkul pingat perak acara kata berpasukan bersama Niathalia dan Naccy pada temasya sukan sama. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28