SHAH ALAM - Bumiputera digesa untuk mengukuhkan ilmu, kemahiran dan bagi memastikan keupayaan serta potensi diri berada pada tahap terbaik untuk mampu bersaing seterusnya berjaya.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, ini kerana sebanyak 61 peratus rakyat Malaysia merupakan bumiputera yang tinggal di negeri-negeri yang bercirikan pertumbuhan pendapatan rendah dengan kemiskinan tinggi.
Menurutnya, negeri berkenaan juga mempunyai kepadatan penduduk bumiputera yang tinggi.
"Semua peluang dan cabaran yang dikenal pasti oleh setiap kluster berpasak kepada daya saing bumiputera hanya boleh dicapai dan diselesaikan dengan ilmu pengetahuan, kemahiran serta sikap-sikap positif dalam diri,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) menerusi laman sosial, Facebook pada Isnin.
Tambah Noor Azlan, tidak semua bumiputera memiliki pendapatan rendah dan kaum lain berpendapatan tinggi.
Katanya, polisi afirmatif mesti disasarkan kepada semua yang terpinggir, namun perlu diingatkan bahawa bumiputera mempunyai keistimewaan tersendiri dalam Perlembagaan yang memerlukan polisi afirmatif lebih khusus.
"Berdasarkan ujian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022, pencapaian seorang pelajar dalam literasi sains, matematik dan bacaan sangat jelas dipengaruhi oleh status sosial ekonomi (SES) pelajar berkenaan.
"Pada umur 15 tahun (umur ujian PISA), pelajar yang datang dari latar keluarga SES rendah (berpendapatan rendah, tiada kelengkapan asas pembelajaran, tiada model peranan dalam keluarga) jelas akan ketinggalan. Umur pembelajarannya singkat hampir empat tahun!
"Kalau ini berterusan tidak ditangani, bumiputera (dan kaum lain juga) yang berhadapan dengan kepinggiran memerangkap (SES rendah), berisiko tinggi akan ketinggalan,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap agar KEB 2024 mampu mengambil cadang yang diangkat dalam kongres berkenaan untuk menangani segala cabaran akan datang.
"Amat diharapkan setiap kementerian meneliti semua dokumen laporan yang dibentang dan diserahkan. Perincikan apa tindakan kementerian yang wajar dilaksanakan.
"Terima kasih Perdana Menteri, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri tampil mengangkat nasib bangsa sebagai permasalahan negara. Ini masalah kita. Kita mesti selesaikan,” katanya.