Penduduk bimbang projek sedut pasir didakwa ancam keselamatan

Iklan
Antara penduduk Kampung Masjid Lama dekat Jeniang menunjukkan kain rentang membantah projek menyedut pasir di Sungai Muda semalam. - Foto: Bernama

GURUN - Hampir 200 penduduk di Kampung Masjid Lama, Jeniang dekat sini membantah projek menyedut pasir yang dilakukan di Sungai Muda berhampiran kampung itu yang didakwa mengancam keselamatan mereka.

Penduduk mendakwa projek yang bermula awal Januari lepas itu turut berisiko memberi impak hakisan di lokasi Jambatan Jeniang yang terletak kira-kira 900 meter dari tapak projek berbanding 1,000 meter yang ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, Abdul Majid Sudin, 55, berkata dia kesal apabila aktiviti menyedut pasir masih dijalankan walaupun semakin hampir dengan tebing sungai dan jambatan yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) JPS.

Abdul Majid turut mendakwa aktiviti tersebut turut menyebabkan keindahan sungai tercemar apabila air menjadi keruh dan sungai menjadi dalam, sekali gus berisiko kepada kanak-kanak yang sebelum ini kerap bermandi-manda di situ.

Iklan

Beliau turut mendakwa projek tersebut menjejaskan ekosistem hidupan di sungai tersebut apabila beberapa spesies ikan tidak lagi kelihatan termasuk kelah.

Ahmd Nazori Abdul, 42, pula berkata, selepas kejadian tanah runtuh di belakang rumahnya baru-baru ini, dia tidak dapat tidur lena kerana bimbang kejadian yang sama berulang.

Keadaan tanah runtuh berdekatan rumah penduduk kesan daripada projek pengambilan pasir di Kampung Masjid Lama dekat Jeniang - Foto: Bernama

Iklan

"Runtuhan tebing tu berlaku waktu hujan lebat, rasa trauma, sampai sekarang runtuhan itu dibiarkan tanpa pagar, benteng atau tembok dan keadaan ini boleh mengancam keselamatan. Pihak syarikat yang terlibat projek itu pun tak mai jumpa kami,” katanya.

Bagi Mazli Zainol, 49, pula mendakwa debu pasir yang berterbangan akibat projek itu membuatkan dia dan keluarga berasa tidak selesa selain bunyi bising jentera berat.

"Tambahan sekarang musim panas, keadaan berdebu lagi, saya terpaksa pergi ke hospital seminggu sekali sebab berasa lelah. Dalam rumah pun berhabuk,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Kedah, Mohd Sobri Ramlee berkata, beliau telah mengajukan isu tersebut kepada pihak berwajib termasuk JPS dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Saya mahu operasi pengambilan pasir ini dihentikan, jika tidak keadaan bertambah buruk dan hakisan semakin hampir dengan Jambatan Jeniang, kerana kita lihat tiada siapa dapat menghalang operasinya setakat ini,” katanya.

Mohd Sobri juga menambah, kekerapan lori pasir yang keluar masuk dari tapak kuari dan melalui jalan utama turut dilihat membimbangkan terutama apabila sesi persekolahan bermula tidak lama lagi. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28