Analisis 177 sampel muntah paus didapati tidak tulen - UMT

Iklan
Antara sampel objek dipercayai muntah paus yang dihantar untuk dianalisis oleh Makmal Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan, UMT. (Gambar kecil: Hasrizal)

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 177 sampel daripada objek dipercayai sebagai muntah paus atau ambergris yang dianalisis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak 2021 sehingga akhir Februari lalu didapati tidak tulen.

Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT, Dr Hasrizal Shaari berkata, ia termasuk sampel yang dihantar dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Hong Kong dan Singapura.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebanyakan sampel yang dihantar dari dalam negara itu tiada kandungan ambrien iaitu komponen penting bagi menentukan ketulenan lilin ambergris.

"Setakat ini tiada lagi sampel yang kita kenal pasti tulen. Untuk tahun ini sahaja sehingga hingga hujung Februari lalu kita telah menerima sebanyak 15 sampel diambil dari objek yang dipercayai sebagai ambergris.

Iklan

"Pada pandangan saya, adalah sukar untuk menemui muntah paus tulen di perairan Malaysia khususnya di Perairan Pantai Timur yang mempunyai purata kedalaman yang cetek.

"Seperti yang diketahui umum, pembentukan ambergris adalah daripada proses yang berlaku secara tidak sengaja oleh sistem pencernaan ikan Paus Sperma apabila memakan sotong-sotong gergasi di perairan laut dalam sebab itu spesies ikan paus tersebut dikenali sebagai 'deep diver'," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Objek yang ditemukan seorang penduduk di Pantai Kelulut, Marang dipercayai tumbuhan laut namun ada segelintir pihak mendakwa ia adalah muntah paus.

Iklan

Jelas beliau, peluang untuk menemui ambergris tulen di perairan Pentas Sunda di mana purata kedalaman perairan yang kurang dari 100 meter amat tipis dan mustahil.

Menurutnya, lemak-lemak atau minyak yang terapung di permukaan laut daripada sumber-sumber tertentu juga mampu untuk membentuk objek yang seakan-akan ambergris disebabkan oleh tindak balas cahaya matahari dan air laut.

"Jadi tidak hairanlah sekiranya penemuan ketulan-ketulan yang seakan ambergris boleh berlaku seperti dilaporkan di dada akhbar.

"Bagaimanapun, jika terdapat kemusykilan yang masih mengatakan objek yang dijumpai itu adalah ambergris, analisis makmal boleh dilakukan bagi mengesahkan ketulenannya," ujar beliau.

Beliau berkata, UMT mampu menentusahkan ketulenan muntah paus dan ia telah diperakui oleh pakar dari Plymouth Universiti iaitu Prof Dr Rowlan J. Stevan yang telah bersara wajib dari dunia akademik.

"Prof Dr Rowlan turut mencadangkan analisis terhadap sampel yang didakwa muntah paus dilakukan di UMT sekiranya terdapat pihak-pihak yang ingin menentusahkan ketulenan ambergris.

"Kaedah analisis fizikokimia yang digunakan oleh pihak makmal kami bagi menentukan ketulenan sesuatu objek yang dipercayai muntah paus atau ambergris adalah tepat dan boleh dipercayai kerana perbandingan keputusan dilakukan dengan ambergris tulen.

"Ambergris tulen yang dijadikan piawai analisis diperoleh oleh makmal UMT dengan harga RM400 satu gram sebagaimana harga pasaran ambergris tulen," katanya.

Minggu lalu, seorang penduduk di Rhu Muda, Marang mendakwa menemui satu objek misteri seberat 8 kilogram (kg) di Pantai Kelulut dipercayai sejenis tumbuhan laut dalam.

Kebanyakan penduduk kampung mengakui tidak pernah melihat hidupan laut seperti itu namun ada segelintir nelayan yang mendakwa ia mungkin lemak ikan paus yang telah beku.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28