JOHOR BAHRU - Seramai 66 warga asing termasuk empat majikan warga tempatan ditahan dalam Ops Gegar di seluruh Johor pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, Baharuddin Tahir, fokus utama operasi kali ini terarah kepada pusat-pusat refleksologi, premis hiburan dan restoran yang dipercayai menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah.
Katanya, kesemua 62 tahanan warga asing itu melibatkan lima lelaki dan 37 perempuan warga Thailand, tujuh lelaki (Myanmar), empat perempuan (Vietnam), satu lelaki dan dua perempuan (Indonesia), dua perempuan warga China, dua lelaki dan satu perempuan (Sri Lanka) dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 18 hingga 54 tahun, manakala empat lelaki warga tempatan yang juga dipercayai penjaga premis berusia antara 21 hingga 43 tahun.
"Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
JIM Johor mengesan ramai warga asing menyalahgunakan kemudahan untuk tinggal di Malaysia dan bekerja secara haram serta terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.
JIM tidak akan berkompromi dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan malah akan menggempur lokasi-lokasi panas di seluruh Johor.
Pihak JIM juga meminta kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang layak menyertai Program Repatriasi Migran yang berkuat kuasa mulai 1 Mac hingga 31 Disember 2024.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28