ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mahu Mahkamah Syariah menjadi sebuah institusi penting sesuai dengan kedudukan Islam di negeri ini.
Baginda bertitah agar langkah pemerkasaan dilakukan dengan meletakkan Mahkamah Syariah dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah sebagaimana Mahkamah Sivil disebut dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sultan Sallehuddin bertitah supaya kerajaan menyemak semula struktur Mahkamah Syariah seperti sistem hierarki mahkamah berkenaan untuk memberi lebih ruang keadilan kepada pihak terlibat.
"Beta harap usaha ini dapat disegerakan demi memartabatkan ketinggian institusi Mahkamah Syariah di negeri ini. Ini kerana institusi Mahkamah Syariah merupakan obor keadilan agama Islam dan agama rasmi negeri ini,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15, di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.
Turut berangkat sama, Sultanah Kedah, Sultanah MalihaTengku Ariff dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dalam pada itu, Sultan Kedah mengingatkan ahli DUN agar memahami peranan hakiki sebagai penggubal undang-undang agar tidak menyimpang daripada matlamat asal.
"Kuasa Dewan ini dalam menggubal undang-undang meliputi perkara yang termaktub dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan.
"Sebagai tambahan menurut Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan, Dewan juga berkuasa menggubal undang-undang bagi perkara yang tidak dinyatakan secara satu persatu bawah mana-mana senarai dalam Jadual Kesembilan.
"Untuk menjadi seorang penggubal undang-undang berwibawa, semua ahli Dewan harus turun padang menyelami masalah rakyat dan terbuka mendengar pandangan semua pihak,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah, ini kerana tiada satu pun kerajaan yang terlepas daripada cabaran, konflik mahupun rintangan.
"Mengenang kembali 15 tahun pemerintahan Paduka Ayahanda Almarhum Sultan Badlishah sebagai raja pemerintah, negeri berhadapan desakan politik dan ancaman keselamatan yang berat.
"Namun, ketegasan Almarhum Paduka Ayahanda, serta kesepakatan barisan kepimpinan kerajaan negeri dan kebersamaan rakyat, negeri Kedah kekal berdiri hingga ke hari ini,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin percaya pengalaman yang ditempuh membina kekuatan dan membuka mata kita untuk bersatu mempertahankan hak-hak negeri.
"Fasa menentang penjajah luar sudah berlalu, kini fasa negeri untuk berdikari dan bersedia ke arah kemampuan mengharungi apa jua keadaan politik dan iklim ekonomi.
"Seluruh aspek berkepentingan kepada negeri meliputi pembangunan ekonomi, sosial, hasil bumi, kekuatan fiskal, tadbir urus, perundangan dan kehakiman negeri, serta kerjasama strategik dan perancangan geopolitik, harus diperkasakan,” titah baginda.