BEIRUT - [DIKEMAS KINI] Beberapa rangkaian media melaporkan kenderaan perisai milik Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) ditahan penduduk tempatan yang kemudiannya diserahkan kepada pejuang Hizbullah.
Menurut laporan al-Monitor, insiden itu berlaku di Hay al-Sellom di Dahiyeh, selatan Beirut ketika kenderaan itu dipercayai membawa anggota misi pengaman UNIFIL dari Malaysia.
Portal berita al-Modon turut mengeluarkan rakaman video memaparkan bahagian dalam kenderaan itu dan tertera Cendana Auto pada stereng.
Sementara itu, Timbalan Jurucakap UNIFIL, Kandice Ardiel mengesahkan kejadian penahanan sementara pasukan pengaman tersebut.
"Kenderaan misi itu dalam perjalanan logistik rutin ke Beirut dan memasuki laluan tidak dirancang," jelasnya.
Bagaimanapun, Ardiel tidak mendedahkan kerakyatan anggota terlibat.
Menurutnya, anggota misi tersebut bukan hanya bebas untuk bergerak dalam kawasan operasi UNIFIL malah ke seluruh Lubnan untuk tujuan pentadbiran dan logistik.
"Kebebasan bergerak itu perlu untuk pelaksanaan Resolusi 1701," ujarnya lagi. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28