KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan Julai ini untuk perbicaraan kes hasutan membabitkan bekas Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali Papagomo.
Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan 11, 12, 29 dan 30 Julai sebagai tarikh perbicaraan ketika sebutan kes yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, peguam Rafique Rashid Ali dan Logen Eskander yang mewakili tertuduh.
Iklan
Iklan
Mahkamah juga menetapkan 18 April ini bagi sebutan semula kes.
Pada 8 Januari lepas, Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut yang mengaitkan kerajaan, pro kepada Israel dan Barat di laman Facebook tahun lepas.
Dia didakwa menghasut di laman Facebook"Halid Hamidi (Halid Mat Kool)" dan kata-kata itu telah dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada jam 1 tengah hari, 8 November tahun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28