KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengesahkan tidak menyambung kontrak 13 pemain termasuk lapan importnya pada musim lalu bagi saingan baharu Liga Malaysia 2024-2025.
Lapan pemain import berkenaan ialah Ifedayo Olusegun, Bojan Ciger, Moses Atede, Manuel Hidalgo, Amirbek Juraboev, Ebenezer Assifuah, Alan Robertson dan Jonatan Balotelli.
Perkembangan diumumkan Sang Kenari itu menyaksikan kapten dan pemain antarabangsa Filipina, Manuel Ott muncul sebagai satu-satunya pemain import yang masih bersama kelab itu ketika ini.
"Prestasi cemerlang dan semangat juang yang dipamerkan dalam mengangkat mutu permainan Sang Kenari musim lepas dan memberikan impak positif kepada pasukan menjadi inspirasi kepada kita semua,” katanya menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi mereka pada Isnin.
Kelab tersebut berkata, Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan KDA FC merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada dedikasi mereka sepanjang musim lalu.
Menurutnya, sumbangan barisan pemain import Sang Kenari musim 2023 bukan sahaja dalam padang tetapi juga dalam pembinaan semangat kumpulan dan kekal profesional melaksanakan tanggungjawab sebagai pemain pada kala kelab dibelenggu beberapa isu di pertengahan musim.
Sebagai rekod, Ciger telah bersama Neftchi FC Ferghana yang beraksi di Liga Super Uzbekistan dan Atede menyertai Sitra Club yang beraksi di Liga Premier Bahrain.
Balotelli telah memilih untuk bersama FK Makedonija Gjorche Petrov di Macedonia Utara manakala Hidalgo telah disambar juara Liga Super 2023, Johor Darul Ta’zim.
Dalam perkembangan sama, lima pemain tempatan yang tidak lagi bersama mereka itu ialah Rodney Celvin Akwensive, Mior Dani Armin Mior Ariffen, Muhammad Azrin Afiq Rusmini, Mohammad Zharmein Ashraf Ismail, dan Muhammad Faizal Muhammad Talib.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28