PUTRAJAYA - Sejumlah 33 item agenda Malaysia telah berjaya dibincangkan dan diluluskan pada persidangan tahunan Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ke-55 (UN55SC), menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, agenda tersebut yang telah dibincang dan diluluskan akan menyumbang kepada penghasilan keputusan penting bagi pembangunan sistem statistik antarabangsa.
Mohd Uzir berkata, penyertaan Malaysia dalam persidangan tahunan UN55SC berjaya mengetengahkan keupayaan dan kepakaran negara dalam penghasilan statistik rasmi meliputi ekonomi, sosial, demografi dan alam sekitar.
Tambah beliau melalui inisiatif ini, DOSM juga dapat menekankan kepentingan statistik dan memberikan sokongan kepada usaha UN55SC dalam memperluas panduan dan metodologi statistik terkini (merangkumi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar).
Beliau juga berkata usaha itu bertujuan untuk memastikan negara anggota mampu menghasilkan statistik rasmi yang boleh dipercayai, bertepatan masa dan boleh dibandingkan di peringkat antarabangsa.
UN55SC telah diadakan dari 27 Februari hingga 1 Mac lepas di New York, Amerika Syarikat dan berperanan sebagai entiti utama dalam sistem statistik global yang menghimpunkan ketua perangkawan atau ketua Sistem Statistik Negara dari seluruh dunia untuk membentuk piawaian dan metodologi statistik antarabangsa.
Setiap tahun, 193 negara anggota PBB dan organisasi antarabangsa berhimpun untuk memajukan inovatif dalam penghasilan data dan maklumat statistik rasmi dan Malaysia diwakili oleh Mohd Uzir dan Pengarah Bahagian Perangkaan Komunikasi Strategik dan Antarabangsa DOSM, Ezatul Nisha Abdul Rahman.
Mohd Uzir berkata, Malaysia turut menyertai acara sampingan seperti mesyuarat dan seminar peringkat tertinggi dengan berkongsi pengalaman dan amalan terbaik negara bersama perwakilan negara dan agensi statistik antarabangsa yang lain.
"Malaysia turut menyertai mesyuarat seperti International Comparison Program (ICP) Governing Board, Bureau Members of the ESCAP Committee on Statistics, the OIC Statistical Commission (OIC StatCom) dan Inter-Secretariat Working Group on Household Survey (ISWGHS).
"Melalui peranan penting DOSM dalam mengkoordinasikan sistem statistik Malaysia, penyertaan DOSM dalam himpunan berprestij ini adalah penting untuk menekankan kepentingan dan komitmen negara terhadap pembuatan keputusan berasaskan bukti dan data,” katanya.
Beliau berkata selepas UN55SC, Malaysia akan terus kekal proaktif dalam memperluas jaringan globalnya demi memupuk pertukaran pengetahuan, kepakaran dan mendapatkan pandangan mengenai cabaran statistik, terutamanya dalam aspek pembinaan kapasiti.
"Interaksi ini tidak hanya memperkukuh hubungan antarabangsa, tetapi juga menghasilkan penyelesaian yang inovatif serta menekankan peranan penting dalam meningkatkan kapasiti statistik untuk kesejahteraan komuniti global,” jelasnya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28