Kontroversi AJL, TV3 terbuka untuk penambahbaikan

Iklan
AJL menjadi platform untuk mencungkil bakat bakat baharu terutama penyanyi atau komposer yang sukar mendapat perhatian di arus perdana.

LUAHAN ketidakpuasan hati penyanyi dan komposer sejak awal penganjuran Separuh Akhir Muzik Muzik ke-38 (SFMM38) dan seterusnya Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) sedikit sebanyak mencalarkan imej program yang sudah berlangsung hampir empat dekad.

Antara perkara yang disingkap oleh pemain industri adalah terma dan syarat yang dirasakan tidak adil serta ketat oleh TV3 serta isu pembayaran persembahan kepada penyanyi yang bertanding.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Television Networks (MPTN) dan Primeworks Studios, Nini Yusof berkata, pihaknya melihat pendebatan atau perbincangan mengenai penganjuran program berprestij itu sebagai sesuatu yang lumrah.

Nini Yusof

Ujarnya, TV3 bersama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan badan berkanun muzik lain sentiasa bekerjasama rapat sejak awal penganjuran program itu.

Iklan

"Memang semenjak bermula Muzik Muzik sehingga ke AJL, ada banyak rentetan tetapi saya tidak melihat itu sebagai satu masalah.

"Pihak kami terbuka untuk berbincang atau membuat penambahbaikan agar AJL boleh terus berlangsung. Malah selama 38 tahun, TV3 tidak pernah gagal menganjurkan anugerah muzik untuk pemuzik, komposer dan penulis lirik.

Iklan

"Jadi saya amat berharap mereka ini boleh terus berkarya dan stesen TV boleh terus anjur AJL pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada sidang media AJL38 di Axiata Arena awal pagi Isnin.

Anugerah Juara Lagu ke-38.

Tambah Nini, AJL juga menjadi platform untuk mencungkil bakat bakat baru, terutama penyanyi atau komposer yang sukar mendapat perhatian di arus perdana.

Bagi merealisasikan perkara itu, pihaknya membelanjakan sejumlah wang yang besar agar penganjuran program seperti AJL dapat dilakukan dengan jayanya.

"Bagi penganjuran AJL38, untuk persembahan, tenaga kerja, TV3 belanja lebih RM3 juta. Persiapan sudah dilakukan sejak awal tahun dan secara intensif sejak Ogos sehingga hari siaran langsung,” ujarnya.

Terdahulu, penganjuran SFMM38 menjadi perhatian umum apabila tempat Ernie Zakri selaku penyanyi Astana digantikan Nadeera Zaini tanpa persetujuannya.

Bukan itu sahaja, Kmy Kmo, Luca Sickta dan Sufian Suhaimi turut sepakat menarik diri daripada bertanding di SFMM38 kerana tidak bersetuju dengan terma dan syarat pertandingan yang dirasakan tidak adil terutama berkaitan hak cipta lagu.

Tidak berhenti di situ, Datuk Jamal Abdillah juga mengumumkan untuk menarik diri daripada bertanding biarpun lagu nyanyiannya bersama Wany Hasrita, Ku Cuma mara ke AJL38.

Keputusan itu dibuat susulan rasa tidak puas hati melibatkan isu pembayaran kepada penyanyi yang terlibat.