IMPIAN Manchester United untuk meraih tiket Liga Juara-Juara terbantut setelah gagal meraih tiga mata berharga selepas tewas 1-3 kepada Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Isnin.
Hakikat tersebut diakui kapten The Red Devils, Bruno Fernandes yang menyifatkan kekalahan dialami pasukan sebagai menjejaskan peluang mereka untuk beraksi di pentas berprestij Eropah itu.
"Setiap kali anda tidak memenangi perlawanan, ia adalah satu kemusnahan di kelab ini," kata Fernandes.
Kekalahan derbi United di Stadium Etihad itu menyebabkan mereka kekal menghuni tempat keenam, ketinggalan 11 mata di belakang Aston Villa di tempat keempat dengan baki 11 perlawanan.
Fernandes sedar kelab mengharapkan pasukan meraih kemenangan dalam setiap perlawanan yang ditempuhi.
"Kami tahu apa yang dituntut oleh kelab dan kami mahu menang setiap aksi yang kami harungi.
"Kami terlepas tiga mata, tetapi perjalanan masih panjang. Ia bukan di tangan kami kerana perlu mengharapkan pasukan lain kehilangan mata, namun kami perlu melakukan tugas dengan baik," ujar Fernandes.
The Reds Devils kalah 11 daripada 27 perlawanan liga mereka pada kempen ini, dua kali lebih banyak daripada keseluruhan musim lalu.
Dua musim sebelumnya mereka mengalami 12 kekalahan di liga (2013/14 dan 2021/22) sekali gus membawa kepada perubahan di pihak pengurusan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28