ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 300 masjid di seluruh Kedah akan terlibat dengan projek sistem solar PV selaras dengan hasrat kerajaan ke arah sebuah negara dan negeri yang mesra tenaga hijau.
Ketua Bahagian Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Kedah (Maik), Syeikh Fakhrurrazi Yub berkata, projek tersebut diuruskan sebuah syarikat bumiputera, SG Energy Sdn Bhd yang pakar dalam pemasangan sistem solar dan elektrikal.
Menurutnya, buat permulaan 300 masjid akan terlibat dengan projek pertama tersebut dan ia akan diperluaskan kepada baki lebih 200 masjid lagi di Kedah jika projek tersebut berjalan dengan lancar.
"Banyak syarikat yang mahu masuk ke Kedah untuk terlibat dengan projek solar ini tetapi kita memilih satu syarikat sahaja bagi memudahkan untuk menguruskan projek ini.
"Kita berharap penjimatan elektrik di masjid berhasil melalui projek yang dilancarkan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Projek Sistem Solar PV di Masjid-Masjid seluruh Kedah di Alor Setar pada Ahad.
Sementara itu, Pengerusi SG Energy Sdn Bhd, Izzulsali Md Ali berkata, negeri ini bakal menjadi peneraju melalui penglibatan jumlah masjid yang banyak memasang sistem solar bagi tujuan penjimatan bil elektrik.
Menurutnya, nilai pelaburan projek tersebut melibatkan sebanyak RM22 juta dan segala kos bagi pemasangan dan penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh pelabur dan syarikat dengan kontrak selama 25 tahun.
"Projek ini akan menggunakan Program Supply Agreement Renewable Energy (Sare). Kedah antara negeri yang menerima cahaya matahari yang paling banyak di Malaysia, rugi jika kita tidak memanfaatkan kelebihan ini,” ujar beliau.
Tambahnya, secara keseluruhannya, dianggarkan jumlah kapasiti pemasangan adalah sebanyak 7,590.96 kilowatt (kWp) dengan anggaran penjanaan solar sebanyak 10,251,591.48 kWh setahun.
"Berdasarkan janaan tersebut, penjimatan bil elektrik dianggarkan sebanyak RM6.5 juta setahun. Melalui penjimatan ini, masjid dapat mempelbagaikan aktiviti mengimarahkan dan pembangunan ummah,” katanya.