Pasukan khas 3R siasat kes Abdul Hadi - KDN

Iklan
Saifuddin

IPOH - Pasukan khas bagi menyiasat kes melibatkan penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja (3R) akan menjalankan siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan', Februari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sejumlah aduan telah diterima dan siasatan dijalankan dalam tempoh tujuh hari sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Iklan
Iklan

"Siasatan mengikut prosedur dan ada elemen kesegeraan. Maksud 'task force' ini ditubuhkan Bukit Aman khusus aduan begini, mereka ada tujuh hari untuk melengkapkan siasatan.

"Selepas tujuh hari, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, itulah prosesnya termasuk kes ini namun, tidak ingat berapa laporan telah diterima," katanya kepada pemberita selepas Program Menyemai Kasih Rakyat dan menyantuni penghuni Rumah Seri Kenangan di Ulu Kinta di sini pada Isnin.

Iklan

Saifuddin berkata, proses pendakwaan akan dilaksanakan Jabatan Peguam Negara selepas pihak polis selesai menjalankan siasatan.

"Kes bagaimanapun masih dalam siasatan, kita serah sepenuhnya kepada pihak polis," katanya.

Iklan

Pada Khamis, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Selangor Royal Office dalam kenyataannya memaklumkan, Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.

Media melaporkan polis akan merakam percakapan Abdul Hadi berhubung kenyataan yang disiarkan pada 20 Februari lalu di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut pada jam 2.30 petang pada Selasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28