ISKANDAR PUTERI - Taktik menyorokkan dadah bersama bungkusan coklat dan gula gagal apabila pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya merampas dadah bernilai RM542,709 di Durian Tunggal, Melaka, 14 Februari lalu.
Menurut Pengarah Kastam Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi, berdasarkan maklumat, pihak JKDM Johor menerusi anggota unit Narkotik bersama Unit Marin Bahagian Penguatkuasaan Kastam telah melakukan serbuan ke atas sebuah kenderaan di Durian Tunggal, Melaka.
"Anggaran nilai dadah adalah berjumlah RM542,709. Selain itu, sebuah kereta Toyota Vios turut disita dan seorang lelaki warganegara Malaysia ditahan dan telah dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedarkan dadah berbahaya di mana jika sabit kesalahan pesalah dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman yang diberikan oleh mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah juga disebat tidak kurang 15 sebatan,” katanya.
Sementara itu Aminul Izmeer berkata, pihak JKDM Johor turut menyerbu premis di Shah Alam, Selangor di yang dijadikan stor penyimpanan rokok tidak berkastam bernilai lebih RM1 juta, awal Januari lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan, pihak JKDM Johor turut menemukan sejumlah rokok pelbagai jenama dipercayai belum lulus kastam yang disembunyikan di premis berkenaan.
"Sebanyak 2,353,200 batang rokok kretek dan rokok putih dirampas dan disita yang melibatkan anggaran nilai sebanyak RM1,018,880 dan jumlah duti dan cukai terlibat sebanyak RM1,655,000.
"Kita juga meneruskan usaha bagi mengesan pemilik premis berkenaan,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28