KDN tambah baik proses mohon kewarganegaraan

Iklan
Saifuddin beramah mesra dengan penghuni Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta pada Program Menyemai Kasih Rakyat di Ipoh pada Isnin.

IPOH - Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhasrat untuk melakukan penambahbaikan terhadap proses temu duga termasuk modul ujian penguasaan bahasa Melayu bagi permohonan pemerolehan kewarganegaraan melalui penaturalisasian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelbagai aspek akan diteliti bagi menambah baik kaedah permohonan mengikut Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tambah baik prosedur itu bagaimanapun tetap mematuhi aspek perundangan berikutan pelaksanaan temu duga tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya berharap proses temu duga itu dapat diadakan dalam suasana kondusif yang akan membantu pemohon menghilangkan rasa gemuruh terutama berusia 80 hingga 90 tahun.

Iklan

"Selain kaedah satu persatu, panel temu duga boleh dijalankan dalam bentuk seperti Latihan Dalam Kumpulan (LDK), slaid bergambar dan sebagainya.

Terdahulu, Saifuddin mengadakan lawatan kerja ke Kompleks KDN Perak di Meru Raya bagi meninjau pelaksanaan Program Ujian Pengetahuan Bahasa Melayu Kewarganegaraan melibatkan 56 pemohon yang berusia antara 70 hingga 100 tahun.

Iklan

Saifuddin berkata, terdapat seramai 12,000 permohonan kewarganegaraan daripada 49,000 keseluruhan masih diproses oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

"Disebabkan angka (permohonan) itu, kita tekad untuk memudahkannya, selain membuat keputusan tanpa berlengah dengan tidak mengetepikan semua aspek perundangan.

"Kita yakin penambahbaikan itu boleh laksanakan dalam tempoh yang tidak terlalu panjang dan boleh memberi impak lebih besar dalam proses tersebut," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28