SEMPORNA - Sembilan individu termasuk tiga kanak-kanak nyaris lemas selepas bot dinaiki mereka karam dalam kejadian di perairan Pulau Tobo-Tobo di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, kesemua penumpang dan pemandu bot diselamatkan oleh pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.45 petang.
Menurutnya, seramai lima anggota dikejar ke lokasi kejadian dengan sebuah bot kevlar untuk menyelamatkan mangsa yang terletak sejauh dua kilometer dari BBP Air Semporna.
"Kesemua mereka dari Pulau Sumandeh dan mahu menuju ke Pekan Semporna namun setibanya di perairan Pulau Tobo-Tobo, bot mereka dimasuki air dan karam akibat dipukul ombak.
"Terdapat sembilan individu berada di dalam bot terdiri seorang lelaki dan lima wanita dewasa bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia dua dan lima tahun.
"Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dan dinaikkan ke dalam bot bomba, semuanya dilaporkan selamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya lagi, susulan kejadian itu kesemua mangsa dihantar ke Pulau Sumandeh untuk pulang ke rumah masing-masing.
"Pasukan bomba kemudian menamatkan operasi pada jam 4.48 petang selepas memastikan semua keadaan selamat," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28