AirAsia sedia lebih 22,000 tempat duduk harga tetap untuk hari raya

Iklan
AirAsia menyediakan lebih 22,000 tempat duduk pada tambang tetap untuk penerbangan lewat malam antara Semenanjung dan Malaysia Timur, bersempena sambutan hari raya. Foto hiasan

AIRASIA menyediakan lebih 22,000 tempat duduk pada tambang tetap untuk penerbangan lewat malam antara Semenanjung dan Malaysia Timur, bersempena sambutan hari raya sebagai sebahagian daripada komitmennya bagi membolehkan lebih ramai puang ke kampung halaman mereka untuk perayaan tersebut.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan memaklumkan, penumpang boleh terbang antara Kuala Lumpur dan Kuching, Sibu, Bintulu atau Miri; serta antara Johor Bahru dan Kuching, Sibu atau Miri pada harga RM298 sehala, selain antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sandakan atau Tawau; dan antara Johor Bahru dan Kota Kinabalu, pada harga RM348 sehala dari 5 hingga 17 April.

Iklan
Iklan

"Tambang promosi itu tersedia untuk tempahan bermula hari ini sehingga 17 April 2024, menerusi airasia.com dan AirAsia MOVE app, yang sebelum ini dikenali sebagai ‘airasia Superapp’,” menurut AirAsia dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai tambahan kepada 122 penerbangan lewat malam pada harga tetap ke 11 laluan antara Semenanjung dan Malaysia Timur, AirAsia memaklumkan mereka mengendalikan 735 penerbangan setiap minggu dengan tambang biasa ke Sabah, Sarawak dan Labuan sebagai sokongan kepada inisiatif musim perayaan kerajaan.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Aviation Bo Lingam berkata, penerbangan dengan tambang tetap antara Semenanjung dan Malaysia Timur oleh AirAsia itu, bukan sahaja menjadikan penerbangan lebih mampu milik, tetapi menunjukkan komitmen mereka dalam menyokong inisiatif tambang musim perayaan oleh kerajaan.

"Kami teruja untuk menerbangkan ribuan tetamu kami pulang ke kampung halaman mereka Hari Raya ini,” katanya.

Iklan

AirAsia turut menggalakkan pelanggan mereka untuk mendaftar masuk secara sendiri menggunakan AirAsia MOVE App, yang boleh dilakukan 14 hari sebelum tarikh penerbangan dan menggunakan pas masuk elektronik untuk menaiki pesawat. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28