JOHOR BAHRU - Gangguan Sistem M-Bike di laluan zon pemeriksaan motosikal masuk dan keluar mengakibatkan kesesakan di zon motosikal Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, insiden gangguan sistem itu disebabkan kerja-kerja konfigurasi sistem yang sedang dilaksanakan syarikat pengendali baharu yang dilantik pada 29 Februari lalu.
"Pihak syarikat pengendali dan jabatan sedang mengambil tindakan drastik bagi mengatasi gangguan ini dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Ruslin berkata, bagi mengatasi masalah kesesakan di laluan motosikal, JIM mengambil tindakan segera dengan mengaktifkan kaunter manual secara maksimum.
"Ia bagi membolehkan pemeriksaan di Zon Motosikal dilakukan secara manual sehingga isu gangguan sistem berkenaan diatasi.
"Jabatan ini komited melakukan yang terbaik bagi memastikan masalah gangguan ini dapat dipulihkan dalam kadar segera," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan berita tular mengenai dakwaan penamatan kontrak M-Bike disebabkan arahan 'orang atasan'.
"Syarikat pengendali terdahulu sudah tamat tempoh kontrak dan lantikan syarikat pengendali baharu dilaksanakan mengikut prosedur kewangan yang berkuat kuasa.
"Jabatan ini menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28