KONTINJEN Melaka menyasarkan 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21, yang dijadualkan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam berkata, sasaran tersebut dilihat realistik dan sama seperti sasaran edisi lepas di Kuala Lumpur walaupun kontinjen Melaka ketika itu hanya berjaya meraih 17 emas, 11 perak dan 23 gangsa.
"Pada Sukma kali ini, kita percaya jumlah itu mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa atlet selain beberapa sukan yang dilihat mampu menghadiahkan pingat emas termasuk sukan wusyu yang kita sasarkan 11 pingat emas daripada keseluruhan sasaran.
"Sukan lain yang kita percaya boleh menghasilkan pingat emas ialah akuatik, gimnastik, gimrama dan silat...bagi persiapan kontinjen Melaka, setakat ini telah melepasi 60 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat (Sukan) sempena Sukma ke-21 yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka, Mohd Asri Ninggal.
Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, penyerahan watikah itu membabitkan 27 bapa angkat dalam kalangan exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), 38 jabatan angkat dan 35 anak angkat daripada Persatuan Sukan Melaka.
Menurutnya, kontinjen Melaka akan menyertai kesemua 37 jenis sukan yang akan dipertandingkan pada temasya itu nanti.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedang menyiapkan kertas kerja bagi memohon peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 juta bagi persiapan atlet negeri itu.
"Sebelum ini kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM2.5 juta sebagai persediaan kontinjen Melaka pada pembentangan Bajet 2024, namun jumlah itu dilihat perlu ditambah bagi membiayai elaun atlet dan jurulatih," katanya.
Terdahulu, Ab Rauf dalam ucapannya berharap penerima watikah dapat memainkan peranan masing-masing bagi membantu negeri itu mencapai kecemerlangan di Sukma nanti.
Beliau juga mencadangkan kempen promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) turut diperluaskan dalam kalangan atlet yang mewakili negeri itu seperti dengan meletakkan logo kempen pada pakaian rasmi kontinjen Melaka.
"Memandangkan Sukma di Sarawak masih dalam tempoh TMM2024, maka kita lihat kempen seperti ini boleh dibawa ke Sarawak...walaupun Melaka negeri yang kecil, kita mahu menunjukkan satu semangat negeri ini yang dinamik," katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28