Suami isteri diuji kemalangan, usaha terus cari rezeki

Iklan
Nurulamifa bersama semua anaknya dan tiga berada di sekolah rendah

KOTA BHARU - Kemalangan jalan raya menyebabkan suami isteri, Wan Edham Hawari Wan Thalji, 44, dan Nurulamifa Amiruddin, 38, tidak dapat melakukan kerja-kerja berat sekali gus menyukarkan mereka mencari pendapatan lebih untuk menampung perbelanjaan.

Nurulamifa berkata, kos sara hidup tinggi juga meresahkannya yang hanya bergantung harap kepada gaji suami sebanyak RM1,300 sebulan sebagai tukang cuci di sebuah hotel di bandar ini.

Iklan
Iklan

Menurut ibu kepada empat anak berusia dua bulan hingga 11 tahun itu, mereka juga terpaksa menangguhkan pembelian keperluan persekolahan anak-anak.

"Sebelum kemalangan pada Januari 2019, saya berniaga barangan mekap serta keperluan wanita dan dapat menyimpan wang untuk keperluan sekeluarga," katanya.

Iklan

Bagaimanapun katanya lagi, kemalangan yang menimpa mengakibatkan kaki tidak dapat bergerak aktif dan banyak bergantung kepada ubat penahan sakit selain berjalan menggunakan tongkat selama setahun.

Keadaan Wan Edham Hawari ketika kemalangan pada Ogos 2022.

Iklan

"Dalam tempoh itu juga, kami diuji dengan pandemik Covid-19. Ketika itu wang simpanan kami habis digunakan untuk keperluan termasuk perbelanjaan empat anak-anak," katanya.

Kongsi Nurulamifa lagi, deritanya tidak berakhir kerana ALLAH menguji lagi dengan suami yang mengalami kemalangan pada Ogos 2022 dan terlantar lebih lima bulan selepas patah leher dan sakit dada.

Jelasnya, bagi menampung keperluan anak-anak dia berusaha membuat kuih-muih dan menjualnya di sekitar kampung tetapi hasil jualan tidak memadai.

Bagaimanapun, Nurulamifa bersyukur kerana tinggal bersama ibu mertua, Ramai Jumadi, 71, di Kampung Bukit Abal serta banyak membantu terutama perbelanjaan makanan melalui wang pencen arwah suaminya.

"Syukur Alhamdulillah saya tinggal bersama mertua tetapi seboleh mungkin tidak mahu menyusahkannya lagi," katanya lagi.

Nurulamifa turut memaklumkan mereka juga tidak dapat menggunakan kereta kerana sudah lama tidak dibaiki.

"Mekanik memaklumkan kos keseluruhan membaiki kereta Proton Saga milik kami ialah RM500 tetapi kami tetap tidak mampu untuk membayarnya sedangkan itulah kenderaan saya mengambil dan menghantar anak ke sekolah," katanya.

Menurutnya, fokus utamanya kini ialah membeli pakaian sekolah anak-anak kerana sesi persekolahan akan dibuka tidak sampai seminggu lagi.

Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban pasangan suami isteri ini boleh berbuat demikian dengan menghubungi Nurulamifa di talian 01137430167 atau menyumbang melalui Bank Islam di nombor 01078020311417.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28