Masa terbaik pencarum KWSP bertukar ke simpanan syariah

Iklan
Dengan perbezaan dividen simpanan konvensional dan syariah yang semakin mengecil, tiada lagi alasan untuk tidak bertukar ke simpanan syariah. Foto hiasan

KELMARIN Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 5.50 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.40 peratus untuk simpanan syariah untuk tahun 2023.

Kadar itu lebih tinggi berbanding 5.35 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.75 peratus untuk simpanan syariah bagi 2022.

Iklan
Iklan

Kadar dividen yang lebih baik itu tentunya disambut baik oleh pencarum terutamanya pencarum Islam yang mencarum di simpanan syariah.

Ini kerana jurang perbezaan antara dividen simpanan konvensional dan syariah semakin mengecil iaitu hanya 0.1 peratus berbanding 0.6 pada tahun 2022.

Iklan

Perbezaan 0.1 peratus ini juga merupakan yang terkecil dalam sejarah sejak simpanan syariah KWSP diperkenalkan pada tahun 2017.

Sebelum ini, pencarum simpanan syariah KWSP biasanya mengeluh bukan sahaja kerana dividen diterima lebih rendah daripada simpanan konvensional, tetapi juga kerana jurang perbezaan dividen yang besar sekitar 0.5 peratus.

Iklan

Biarpun mengetahui dividen yang diterima bakal lebih rendah, pencarum yang memilih simpanan syariah berbuat demikian kerana mahukan pendapatan dividen diterima lebih bersih dan patuh syariah.

Selain itu, dividen KWSP yang diterima juga tidak perlu dibersihkan seperti dividen simpanan konvensional.

Menurut pakar Kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman, pencarum KWSP yang beragama Islam wajar membuat ‘pembersihan' sebanyak 66 peratus daripada dividen simpanan konvensional yang diumumkan.

Katanya, ini bermakna jika dividen konvensional itu nilainya RM10,000 maka RM6,600 perlu dibersihkan, menjadikan dividen patuh syariah KWSP konvensional yang halal dinikmati hanyalah sebanyak 1.87 peratus.

Ketika kini, terdapat kira-kira 70 peratus pencarum Islam KWSP masih belum beralih ke simpanan syariah daripada konvensional.

Ada pencarum yang masih belum berbuat demikian kerana malas, namun ada juga yang tidak mahu bertukar kerana mementingkan keuntungan yang diterima daripada dividen konvensional yang lebih tinggi.

Dengan perbezaan dividen simpanan konvensional dan syariah yang semakin mengecil, tiada lagi alasan untuk tidak bertukar ke simpanan syariah. Bertukar kepada yang halal sangat berbaloi dan tidak akan mengundang kemiskinan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28