ARSENAL mencipta sejarah apabila muncul sebagai pasukan pertama merentasi semua empat liga utama bola sepak Inggeris yang memenangi tiga perlawanan di tempat lawan dengan lima jaringan atau lebih.
Rekod baharu sepanjang zaman liga Inggeris itu dijelmakan anak buah Mikel Arteta selepas membelasah Sheffield United 6-0 di Bramall Lane pada Selasa.
Kapten Martin Odegaard memulakan pesta gol Arsenal seawal minit kelima sebelum Jayden Bogle tertampan bola ke gawang sendiri untuk gol kedua The Gunners m-13.
Gabriel Martinelli, Kai Havertz serta Declan Rice masing-masing meledak gol m-15, m-25 dan m-39 sebelum Ben White melengkapkan kemenangan bergaya Arsenal m-58.
Bulan lalu, The Gunners membantai West Ham 6-0 di Stadium London sebelum meratah Burnley 5-0 di Turf Moor.
Keputusan di Bramall Mall itu menyaksikan Arsenal sudah menjaringkan 32 gol dan hanya dibolosi tiga kali dalam enam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan mereka memenangi kesemua perlawanan tersebut.
Malah, kemenangan bergaya ke atas Sheffield itu membolehkan Arsenal terus menghimpit pendahulu EPL, Liveprool dengan hanya dipisahkan dengan dua mata.
Hujung minggu lalu, Liverpool menewaskan Nottingham Forest 1-0 untuk terus kekal di kedudukan teratas dengan 63 mata, manakala penyandang juara, Manchester City yang ketinggalan satu mata di belakang berjaya menjinakkan Manchester United dalam derbi Manchester di Etihad.
Musim lalu, Arsenal terlepas kejuaraan EPL selepas dipintas City pada saat akhir.
Kali terakhir Arsenal bergelar juara EPL adalah pada musim 2003/04 di bawah kendalian Arsene Wenger.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28