Sesi JKP Adira, Datuk Red gagal

Iklan
Adira, Datuk Red

RAWANG - Laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) antara penyanyi terkenal, Adira Suhaimi dengan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu yang lebih dikenali sebagai Datuk Red menemui jalan buntu apabila pasangan suami isteri ini tetap dengan pendirian masing-masing.

Ketika prosiding permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Umar pada Selasa, Adnan, 42, dimaklumkan tidak akan menceraikan isteri keduanya itu, namun berbeza dengan Adira, 33, yang kekal dengan keputusan untuk berpisah.

Iklan
Iklan

Susulan itu, kes mereka akan diteruskan dengan lantikan hakam di mahkamah sama pada 24 April depan.

Sementara itu, peguam syarie, Nor Saidah Zakaria yang mewakili penyanyi lagu 'Ilusi' selaku plaintif berkata, laporan berkenaan diterima berdasarkan sesi JKP telah dibuat di Pejabat Agama Islam, Gombak pada 1 Februari lalu.

Iklan

Katanya, mahkamah menerima laporan terbabit maka tiada keperluan untuk mengadakan sesi JKP kedua.

"Selain itu mahkamah turut mengesahkan berlaku 'syiqaq' (perkelahian berpanjangan) antara pasangan terbabit.

Iklan

"Susulan itu, mahkamah menetapkan bulan depan untuk ke peringkat hakam," katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding.

Sementara itu, peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan yang mewakili Adnan selaku defenden mengesahkan, pasangan itu gagal mencapai kata sepakat untuk berdamai.

"Tiada kefahaman antara pihak-pihak namun mereka masih berkomunikasi dan menunaikan tangung jawab seperti biasa," katanya.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan penceraian kerana mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinannya.

Bagaimanapun, Adnan tidak bersetuju dengan permohonan dibuat isteri keduanya itu dan ingin menyelamatkan rumah tangga mereka.

Untuk rekod, Adira memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah ini pada 1 April 2019 namun menarik semula permohonan itu bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.

Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun manakala perkahwinan Adnan bersama isteri pertama iaitu Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim, mereka dikurniakan lima cahaya mata.

Adnan juga pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun namun bercerai selepas lima tahun bersama dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28