LIPIS - Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengganggap isu penangkapan anaknya tidak menjadi liabiliti dalam kempen dan menjejaskan peluang PH meraih kemenangan di PRK Cameron Highlands.
Menurutnya, dengan pendirian dan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, beliau tegas memberitahu ia tidak mengundang masalah buat PH.
"Tiada masalah... seperti yang saya katakan, tidak ada apa-apa perlindungan dan menyerahkan kepada pihak polis berdasarkan peruntukan undang-undang.
"Macam anak orang lain... tiada keistimewaan. Menteri sekarang tak guna kuasa," tegasnya lagi.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian dalam sidang media selepas perjumpaan bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan warga Koyan di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Koyan 3, hari ini.
Hadir sama penasihat DAP, Lim Kit Siang, Adun Ketari, Young Shefura Othman dan Pengerusi Amanah Pahang, Dr Hamzah Jaafar.
Baru-baru ini, anak lelaki Mohamad, Ahmad Saiful Islam, 31, ditahan polis selepas disyaki positif dadah jenis ganja di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang.
Sementara itu, Mohamad juga mengalu-alukan sesiapa sahaja yang akan bertanding di PRK tersebut.
"Kita tak kisah siapa calon BN. Lagi banyak penjuru lagi bagus. Kita akan hadap.
"Kita yakin rakyat akan buat perubahan sebab mereka terutama orang Melayu akan menyokong parti yang memerintah (PH)," katanya yang turut menyifatkan jentera parti itu dilihat bersemangat berdepan PRK berkenaan.
Jelasnya kemenangan di kerusi Parlimen itu nanti akan menjadi signifikan buat PH dalam usaha menawan Pahang selepas ini.
Dalam pada itu, strategi kempen yang akan digunakan adalah menerusi pendekatan rumah ke rumah.
"Kita yakin isu yang akan dimainkan adalah isu perkauman terutama di kawasan Melayu.
"Contoh masa ambil alih Pulau Pinang pada 2008, tetapi akhirnya sekarang lihat berlaku perpaduan, kemesraan terutama sekali ugamawan banyak menyokong kerajaan. Sebelum itu mereka kuat jadi penentang," ujarnya.
Menurutnya, rakyat ingin melihat apa yang kerajaan boleh lakukan dan setakat ini beberapa usaha telah dilaksanakan antaranya penurunan harga minyak.
"Kita akan usaha lagi mengikut kemampuan kewangan negara dan yakin menjelang bajet akan datang, akan tahu berapa banyak dapat diselamatkan hasil penjimatan yang berlaku sekarang," jelasnya.