KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menetapkan dua kadar zakat fitrah di negeri itu pada tahun ini iaitu tidak kurang RM10 dan RM22.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penetapan kadar itu berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam di negeri tersebut.
Menurutnya, harga beras setempat ditetapkan oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan segantang nilai Baghdad bersamaan RM2.60 sekilogram.
"Pada tahun ini, harga jualan beras fitrah bagi beras gred Super Tempatan 5 peratus hancur dijual dengan kadar RM7 segantang atau RM2.60 sekilogram berdasarkan harga purata beras terendah.
"Namun beras gred ini amat sukar untuk didapati di Terengganu. Tinjauan di pasaran mendapati sekitar 30 peratus sahaja kedai yang mempunyai bekalan jenis itu.
"Harga jualan beras fitrah bagi gred pertengahan iaitu beras Super Import atau beras siam dijual pada kadar RM11 segantang atau RM4 sekilogram. Selain itu, harga jualan beras bagi gred tertinggi iaitu beras Basmathi pula dijual pada kadar RM22 segantang atau RM8.40 sekilogram.
"Berdasarkan realiti ini, kadar zakat fitrah bagi tahun ini ditetapkan dengan dua kadar sahaja iaitu tidak kurang RM10 bagi setiap orang dan RM22 bagi mana-mana orang yang memakan beras jenis Basmathi atau yang setara dengannya," kata beliau pada sidang akhbar selepas menyempurnakan agihan bantuan zakat asnaf fakir miskin sempena Ramadan di sini, pada Selasa.
Jelas beliau, seramai 903 amil zakat termasuk 53 lantikan baharu akan ditugaskan mengikut kawasan masing-masing bagi membantu melancarkan urusan pungutan zakat di Terengganu.
"Kita menyasarkan kutipan zakat fitrah pada tahun ini meningkat kepada RM11 juta berbanding RM10.3 juta pada tahun lalu," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kutipan zakat pada tahun lalu direkodkan sebanyak RM255 juta dengan peningkatan sebanyak 11.9 peratus berbanding 2022.
Katanya, ia meliputi zakat fitrah, zakat harta, zakat tanaman, zakat wang simpanan, zakat ternakan, zakat perniagaan, zakat emas/perak, zakat pendapatan dan zakat galian.
"Jumlah agihan zakat pada 2023 sebanyak RM257 juta dengan peratusan peningkatan agihan zakat sebanyak 10 peratus berbanding 2022,"katanya.
Beliau berkata,, seramai 25,887 orang penerima agihan bantuan zakat sempena Ramadan di seluruh negeri dengan peruntukan sebanyak RM13 juta.
"Terdapat tiga kategori agihan iaitu RM300 bagi mereka yang tinggal seorang diri, RM500 untuk isi rumah seramai dua atau tiga orang dan RM700 bagi isi rumah empat orang ke atas," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!