Dua rakan mengaku tidak salah menyamar pegawai imigresen

Iklan
Sarvinraj (baju biru) dan Harjit Singh masing-masing berusia 26 tahun membuat pengakuan tidak bersalah selepas petuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

IPOH - Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa atas dua pertuduhan menyamar sebagai pegawai imigresen, bulan lalu.

MA Sarvinraj dan Harjit Singh Sulakhan Singh masing-masing berusia 26 tahun membuat pengakuan itu selepas petuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua mereka yang masih bujang didakwa memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen kepada seorang warga asing, Cahyani Ulfah di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya dalam daerah Kinta jam lebih kurang 3 petang pada 25 Februari 2024.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh secara bersama-sama didapati berpura-pura memegang jawatan penjawat awam dengan menyamar sebagai pegawai imigresen.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kampar, Pekan Bharu, Ipoh sekitar jam 10.30 pagi pada 26 Februari 2024.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini.

Sarvinraj yang tidak bekerja diwakili Peguam Amrick Singh Samdu manakala Harjit Singh yang bekerja sebagai jurujual diwakili Peguam S Morgan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,800 bagi pertuduhan pertama dan RM1,400 bagi pertuduhan kedua.

Dalam prosiding sama, Sarvinraj turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki harta curi iaitu sebuah telefon bimbit jenama iPhone XR dan kad bank Hong Leong milik seorang warga asing, Neng Pipit di Taman Klebang Jaya dalam daerah Kinta jam lebih kurang 6.35 pagi pada 26 Februari 2024.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Majistret Siti Nora membenarkan jaminan sebanyak RM1,800 terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 April depan sebagai sebutan semula ketiga-tiga kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, kedua-dua tertuduh ditahan pasukan Cawangan Siasatan Khas, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sekitar Ipoh dan Gerik pada 27 Februari lepas.

Penahanan dilakukan selepas menerima laporan berkaitan kejadian samun dalam tempoh empat hari berturut-turut sejak melibatkan kerugian sebanyak RM6,000.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28