Muhyiddin gesa kerajaan tangguh rasionalisasi subsidi petrol, diesel

Iklan
Muhyiddin
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan supaya menangguhkan dahulu rancangan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, penangguhan tersebut penting dengan mengambil kira beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat ketika ini.

"Mungkin elok kerajaan tangguhkan dahulu rancangan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel buat sementara waktu. Saya faham beban fiskal yang ditanggung oleh negara kita akibat jumlah subsidi yang besar.

Iklan
Iklan

"Tetapi pada masa yang sama adakah kita rela melihat rakyat menanggung sengsara dalam keadaan mereka sudah pun terbeban dengan pelbagai masalah yang berkaitan dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan cukai?” soalnya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel itu diyakini akan menyebabkan semua barang dan perkhidmatan akan naik.

Iklan

Keadaan itu katanya, bakal memberi implikasi besar kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

"Saya minta kerajaan supaya kaji dengan lebih teliti rancangan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel ini. Adakah ia sesuai dilaksanakan pada masa ini ketika rakyat sedang berdepan dengan kenaikan harga barang dan kenaikan berbagai jenis cukai yang amat membebankan mereka?” soalnya.

Iklan

Sementara itu, Muhyiddin dalam masa sama turut menyindir bahawa rakyat ketika ini menagih janji sertai tercari-cari Anwar yang dahulu.

"Yang Berhormat Tambun (Anwar) ketika jadi pembangkang dulu pandai berjanji macam-macam. Sekarang ini rakyat tercari-cari Tambun yang dulu. Bukan apa, mereka nak tuntut janji. Janji turun harga minyak, janji turun harga barang, janji naikkan nilai ringgit, janji reformasi dan bermacam-macam janji lagi.

"Jadi saya harap Yang Berhormat Tambun, dengan izin, ‘walk the talk’. Ingatlah janji-janji yang ditabur kepada rakyat dahulu. Jangan berbohong kepada rakyat. Buruk akibatnya,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!