SEREMBAN - Polis memanggil empat saksi termasuk penganjur pertandingan kejohanan pra-Sukma di Negeri Sembilan untuk memberi keterangan berhubung kematian pesilat Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, keterangan mereka diambil bagi mengetahui kejadian sebenar yang berlaku, namun siasatan bukanlah menjurus kepada unsur jenayah.
Iklan
Iklan
"Seperti mana yang saya nyatakan sebelum ini kematian pesilat itu tiada kaitan dengan unsur jenayah dan kematiannya akibat pendarahan otak.
"Kes ini juga telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Tetapi kita rakam keterangan saksi-saksi ini untuk tahu apa yang berlaku di lokasi, misalnya bagaimana mangsa terjatuh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan Allahyarham Wan Muhammad Haikal tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height di Seremban pada Sabtu.
Allahyarham dilaporkan rebah setelah terkena tendangan pihak lawan sebelum disahkan meninggal dunia jam 1.20 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar di sini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!