KUALA LUMPUR - Tiga Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal pada Selasa.
Mereka ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Bobbey Ah Fang Suan; Ketua Penerangan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah, Anna Bell @ Suzieana Perian dan bekas Setiausaha Dewan Undangan Negeri Sarawak, Pele Peter Tinggom.
Pelantikan Anna Bell dan Pele merupakan lantikan baharu oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini hingga 4 Mac 2027, manakala Bobbey adalah lantikan semula oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bermula hari ini hingga 4 Januari 2027.
Kesemua mereka mengangkat sumpah sebagai Senator pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara.
Mutang ketika berucap mengalu-alukan pelantikan ketiga-tiga Ahli Dewan Negara itu mengingatkan agar institusi senat Dewan Negara dimartabatkan sebagai badan legislatif tertinggi negara dan melontarkan idea, pandangan serta cadangan yang benar-benar bebas daripada pengaruh peribadi dan politik dalam memutuskan sesuatu rang undang-undang atau usul.
Beliau juga menekankan kepentingan agar setiap Ahli Dewan sentiasa membuat persediaan kajian awal yang komprehensif dalam mempertimbang dan berbahas serta menjalin hubungan erat dengan media dan berkongsi input perbahasan di dalam Dewan Negara untuk hebahan luas menerusi media cetak dan elektronik.
"Gunakan juga platform media sosial peribadi masing-masing secara aktif agar dapat mencapai liputan yang luas dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat yang aktif dalam dunia siber,” katanya.
Dalam pada itu, Anna Bell berharap dapat menggunakan pengalamannya di dalam arena politik dan pentadbiran jabatan kerajaan untuk menyuarakan pelbagai isu termasuk di Sabah bagi memastikan kesejahteraan rakyat.
Pele pula berharap dapat menyuburkan semangat demokrasi melalui hujah-hujah yang jitu terhadap polisi dan dasar yang dibawakan dalam persidangan kerana beranggapan ia adalah satu proses semak imbang yang harus diikuti demi kepentingan rakyat. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!