KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan enam individu bagi membabitkan siasatan berhubung himpunan Turun Parlimen #Reformasi100Peratus yang diadakan di laluan masuk bangunan Parlimen di sini, pada 27 Februari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya akan merakam keterangan tiga lagi individu dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
"Setelah kesemua individu itu dirakam keterangan, kita akan melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sumbangan Peralatan Persekolahan Murid darjah satu Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.
Pada 27 Februari lalu, media melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung himpunan tersebut.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya akan memanggil penganjur himpunan itu dalam masa terdekat bagi mengambil keterangan susulan himpunan itu tidak memberi notis awal sekurang-kurangnya lima hari kepada polis.
Siasatan akan dijalankan di bawah seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
Mengikut APA 2012, notis pemberitahuan bersama dokumen sokongan perlu diserahkan sekurang-kurangnya lima hari daripada tarikh perhimpunan tersebut dianjurkan.
Peserta himpunan terbabit berkumpul di Plaza Tugu Negara sebelum mereka berarak kira-kira 900 meter menuju bangunan Parlimen.
Ia bagi menyerahkan tuntutan yang antara lain berkaitan dengan pelaksanaan agenda reformasi 100 peratus, tolak keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap mana-mana ahli politik dan menolak undang-undang dua darjat.
Tinjauan di lokasi mendapati peserta perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu mula berkumpul di lokasi ditetapkan sejak jam 7.30 pagi dengan dikawal ketat pihak polis.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28