PAPAR -"Sebahagian besar persiapan sekolah sudah dibuat namun semuanya musnah dalam kebakaran," kata Rohani Maidin, 51, salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Laut Bongawan pada Isnin.
Menurut Rohani, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga berada di rumah tersebut dan hanya menyedari kebakaran selepas terlihat asap dari salah sebuah rumah jiran.
"Saya lihat asap berkepul-kepul dari bumbung rumah jiran dan tiba-tiba berlaku letupan sebelum api mulai marak.
"Semasa kejadian ada 10 ahli keluarga di rumah termasuk lapan kanak-kanak berusia antara lima hingga 14 tahun dan juga kakak saya yang juga orang kurang upaya (OKU).
"Ketika itu kami sudah ketakutan dan saya segera membawa budak-budak keluar dari rumah tanpa sempat menyelamatkan barangan lain termasuk dokumen pengenalan diri," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kebakaran di sini, pada Selasa.
Rohani berkata, akibat kejadian itu dia sekeluarga kini tinggal sehelai pinggang.
"Memang tiada apa yang sempat diselamatkan malah wang sebanyak RM2,000 dan barang kemas semuanya hangus," katanya.
Sementara itu, kakaknya Mariana, 56, berkata, dia terpaksa diusung keluar dari rumah oleh jiran kerana api sudah mulai merebak dari rumah sebelah.
"Saya dibawa keluar bersama dengan kerusi roda kerana tidak dapat berjalan dengan laju disebabkan menghidap strok," katanya.
Seorang lagi penghuni Masni Ag Asim, 84, memaklumkan ketika kejadian dia bersama cucunya sempat keluar dari rumah selepas terdengar jeritan jiran.
"Saya dengar orang menjerit, tetapi tidak dapat berlari kerana sudah tidak mampu. Tetapi saya cuba juga keluar dari rumah dan menyeberang ke jalan raya.
"Semua barang tidak sempat diselamatkan. Apa yang dipakai itulah yang tinggal termasuk anak-anak yang keluar bekerja semua barang mereka tidak dapat diselamatkan," katanya dalam keadaan sebak.
Sebelum itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama dan Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif hadir bagi menyampaikan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Baitulmal kepada mangsa yang terlibat.
Dalam kejadian itu, sebanyak 11 rumah musnah membabitkan 25 ketua isi rumah terjejas akibat kebakaran tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!