BANGI - Status permohonan bagi perjawatan tetap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, beliau sendiri telah mengemukakan permohonan berkenaan secara rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Saya diminta untuk memohon agar perjawatan tetap diwujudkan di APM ini. Saya telah mengemukakan permohonan itu secara rasmi kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
"Dan kita ketahui bahawa keputusannya sangat positif, insya-Allah dalam masa terdekat akan ada pengumuman,” katanya ketika berucap merasmikan Bulan Pertahanan Awam sempena sambutan Hari Pertahanan Awam Sedunia dan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) kali ke-72 2024, di ibu pejabat APM di sini, pada Selasa.
"Usaha ini harus terus dilakukan, bukan soal wang ringgit tetapi penghargaan kepada jasa ‘wira tidak didendang’ ini harus didengar oleh masyarakat secara keseluruhannya,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Pada November 2023, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) ketika itu Datuk Armizan Mohd Ali, dilaporkan berkata, pihaknya telah memanjangkan perkara berkaitan perjawatan tetap APM kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebelum dibentangkan kepada JPA.
Selaras usia APM yang kini memasuki usia 72 penubuhannya, Ahmad Zahid mahu penyertaan sebagai sukarelawan pasukan itu diperluaskan kepada semua golongan masyarakat termasuk selebriti, profesional dan pengamal media.
Beliau berkata, tempoh 60 hari diberikan kepada APM untuk merealisasikan hasrat berkenaan, sekali gus membuka peluang penyertaan kepada pengamal media.
"Untuk para wartawan, sebagaimana saya pernah sebutkan dalam ucapan saya yang lepas, saya mahu rakan-rakan wartawan dari pelbagai media cetak, media elektronik dan media sosial harus segera ditubuhkan.
"Ini berguna untuk melibatkan mereka dalam usaha (misi) kemanusiaan ketika memberikan liputan yang lebih menonjol kepada agensi masing-masing,” katanya.
Ahmad Zahid turut menekankan mengenai kepentingan peranan petugas media kepada APM dan mahu agensi itu sentiasa menjalin serta mengekalkan hubungan baik dengan golongan itu.
"Kita jangan pernah melupakan media. Media merupakan the fourth estate iaitu agensi atau sebuah badan yang cukup penting, untuk membantu kita mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat... supaya apa yang kita lakukan bukan hanya perkara kecil tetapi perkara besar,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!