Culik, bunuh ahli perniagaan, tiga sahabat terlepas tali gantung

Iklan
Seorang bekas kerani wanita dan dua rakannya terlepas tali gantung selepas Mahkamah Rayuan pada Selasa menggantikan hukuman mati mandatori itu kepada 35 tahun penjara kerana menculik dan membunuh seorang ahli perniagaan yang mayatnya dicampak dari Jambatan Kedua Pulau Pinang, sembilan tahun lalu. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Seorang bekas kerani wanita dan dua rakannya terlepas tali gantung selepas Mahkamah Rayuan pada Selasa menggantikan hukuman mati mandatori itu kepada 35 tahun penjara kerana menculik dan membunuh seorang ahli perniagaan yang mayatnya dicampak dari Jambatan Kedua Pulau Pinang, sembilan tahun lalu.

Ini selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2018 terhadap A, Malarvili, 32, Sunil Singh, 37, dan C. Kavin Mukilan, 30, kerana membunuh Balveer Kaur berusia 68 tahun.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut mengarahkan Sunil, bekas pemandu mangsa dan Kavin Mukilan dijatuhi hukuman sebat 12 kali atas kesalahan membunuh dan hukuman tiga kali sebatan kerana menculik, menjadikan jumlah 15 kali sebatan.

Bagaimanapun Malarvili tidak dikenakan hukuman sebat kerana undang-undang melarang hukuman sedemikian dijatuhkan terhadap pesalah wanita.

Iklan

Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Vazeer berkata, peguam mereka mengakui bahawa berlaku penculikan tetapi tiada bukti mengenai tuntutan wang tebusan RM2 juta.

"Bagaimanapun, dua panggilan telefon dibuat oleh seorang wanita dua jam selepas mangsa diculik. Hakim perbicaraan berpendapat terdapat keterangan kukuh bahawa pemanggilnya ialah Malarvili,” katanya.

Iklan

Hakim juga menegaskan bahawa hakim perbicaraan membuat dapatan yang betul dalam memerintahkan ketiga-tiga mereka membela diri atas tuduhan membunuh serta mereka tidak dinafikan perbicaraan yang adil.

"Mereka tahu sangat kes pendakwaan terhadap mereka. Mereka sengaja menyebabkan kematian dengan menutup hidung dan mulut untuk melemaskan mangsa serta membuang mayatnya ke dalam laut," katanya yang bersidang bersama hakim Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Noorin Badaruddin.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorhisham Jaafar manakala Malarvili dan Kavin Mukilan diwakili peguam Jasmine Cheong dan Afifuddin Ahmad Hafifi manakala peguam Amer Hamzah Arshad, Chew Jee San, Kitson Foong dan Joshua Tay mewakili Sunil.

Pada 27 Disember 2018, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zulkifli Bakar menjatuhkan hukuman mati terhadap ketiga-tiga mereka kerana membunuh Balveer di Lebuhraya Utara-Selatan, Perak pada jam11.02 malam, 13 Februari, 2015.

Mereka didakwa menutup mulut mangsa sehingga mati lemas dan kemudian membuang mayatnya ke dalam laut, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didapati bersalah kerana menculik dan mengurung mangsa secara salah untuk mendapatkan wang tebusan RM2 juta di tapak pembinaan di Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor, pada jam 12 tengah hari hingga jam 5.53 petang, 13 Februari 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!