KONTINJEN Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor mengekalkan penguasaan Karnival Sukan Mahasiswa (KARISMA) bagi tahun 2024.
Dalam edisi ke-29 yang berlangsung selama sembilan hari, UiTM Cawangan Selangor melebarkan rentak kemenangan buat kali ke-9 berturut-turut.
Temasya yang berlangsung di UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau, melibatkan 14 kontinjen seluruh UiTM.
UiTM Cawangan Selangor muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 28 pingat emas, 14 perak, dan 12 gangsa.
Hadir meraikan kemenangan Kontinjen UiTM Cawangan Selangor ialah Rektor, Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman. Majlis penutup disempurnakan Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Profesor Dr Yamin Yasin.
Sementara itu, Profesor Dr Ahmad Taufek menyifatkan kejayaan mengekalkan kejuaraan kali ke-9 adalah hasil kerjasama dan disiplin tinggi semua yang menunjukkan kebersamaan dan semangat berpasukan.
Tambahnya, momentum kemenangan itu akan memperkukuh semangat dan keazaman pelajar UiTM Cawangan Selangor untuk menonjolkan prestasi dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
"Kejayaan ini tidak hanya menandakan kecemerlangan atlet, tetapi juga semangat kesukanan yang berkobar dalam kalangan komuniti UiTM Cawangan Selangor.
"Tahniah buat para atlet dan pasukan jurulatih, Unit Sukan dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar yang telah membawa nama baik UiTM Cawangan Selangor dalam pentas sukan KARiSMA 2024,” ujar Profesor Dr Ahmad Taufek.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!