Kek jeli 3D sumber rezeki 'empat angka'

Iklan
Jeli 3D bercorak 'Kucing' rekaan Nur Aimi menerima pingat emas dalam pertandingan '3D Jelly Art International Taiwan Competition 2022'

SHAH ALAM - Keunikan kek jeli tiga dimensi (3D) menarik minat seorang wanita untuk mempelajari teknik menyuntik jeli secara lebih mendalam sejak 2017 sehingga kini dan mampu meraih pendapatan sehingga RM5,000 sebulan.

Pemilik perniagaan AR Jelly Blooms, Nur Aimi Razak, 32, berkata, minat untuk menceburi bidang berkenaan timbul selepas meletak jawatan di salah sebuah institusi perbankan pada 2016.

Iklan
Iklan

"Kebetulan pula selepas bersalin anak pertama ada program anjuran komuniti berkaitan 'Kelas Asas Seni Jeli 3D ' dan saya sertai program tersebut sehingga timbul minat nak tahu lebih lagi berkaitan kek unik ini.

"Saya gali ilmu dengan tonton Youtube, tengok video dan timbul minat yang mendalam. Saya juga ada mengikuti beberapa kursus khas berkaitan seni jeli 3D dengan beberapa orang guru lagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Iklan
Antara jeli 3D yang dihasilkan oleh Nur Aimi.

Tambah Aimi, pengalaman paling tidak dapat dilupakan adalah ketika reka bentuk 'kucing' rekaannya menerima pingat emas dalam pertandingan '3D Jelly Art International Taiwan Competition 2022' yang diadakan secara dalam talian.

Dalam pada itu, Aimi memaklumkan, dia juga menganjurkan beberapa kelas seni jeli 3D secara bersemuka sejak 2019 dan mempunyai lebih daripada 200 pelajar.

Iklan

"Disebabkan makanan ini terhasil daripada kemahiran seni yang unik, maka ramai yang berkeinginan nak belajar. Jadi, berbekalkan pengalaman dan ilmu kemahiran yang ada, saya mula mengajar serta membuka kelas seni jeli 3D di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Kelas seni jeli 3D secara bersemuka yang diadakan oleh Nur Aimi sejak 2019 dan mempunyai lebih daripada 200 murid.

"Tempoh untuk seseorang itu mahir adalah subjektif, lagi kerap praktis lagi cepat boleh kuasai bidang tersebut sebab kemahiran perlu diasah. Selalu berlatih pegang jarum suntikan jeli dan cuba pelbagai teknik, insya-ALLAH hasil seni jeli 3D akan semakin halus," jelasnya.

Mengulas lanjut, dia berkata, masa yang diambil untuk menyiapkan corak bunga sekejap sahaja, tetapi untuk menunggu jeli terbentuk dan mengeras menjadikan tempoh pembuatannya lebih lama.

Justeru menurut Aimi, harga bagi sebiji kek jeli bergantung bergantung kepada saiz, reka bentuk serta tempoh untuk menyiapkan hiasan bermula daripada RM65 dan ke atas.

"Lagi lama masa diambil untuk menghasilkannya, lagi mahal caj akan dikenakan. Keseluruhan proses daripada penyediaan bahan sehingga kepada siap sebiji jeli 3D mengambil masa sekitar tiga hingga lima jam bergantung kepada saiz dan corak," tambah Aimi.

Kelas seni jeli 3D secara bersemuka oleh Nur Aimi mempunyai lebih daripada 200 murid.

Ujarnya, jualan jeli 3D tersebut dilakukan untuk meraih pendapatan sampingan sahaja kerana dia mempunyai perniagaan keluarga yang perlu diutamakan iaitu Dodol Tok Bri.