KAHERAH - Pertukaran tahanan Palestin dan tebusan Israel di Gaza hanya boleh berlaku selepas gencatan senjata.
Pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan berkata demikian susulan rundingan gencatan senjata di Kaherah antara Hamas, Mesir dan Qatar berlangsung tanpa ada sebarang kata putus.
Osama, ketika bercakap pada sidang media di Beirut, mengulangi syarat kumpulannya untuk perjanjian gencatan senjata.
Antaranya menamatkan serangan ketenteraan Israel, pengunduran tentera Israel dari Semenanjung Gaza dan membenarkan penduduk Palestin kembali ke rumah mereka.
Osama menyifatkan meskipun Amerika Syarikat sedang giat mengusahakan seruan genjatan senjata dan menyalurkan bantuan kecemasan kepada penduduk Gaza, negara itu masih rakan kongsi dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Apa yang penting menurutnya, adalah menghentikan pendudukan tenteranya dan Israel serta menghentikan bekalan senjata, peluru dan peluru berpandunya kepada Zionis.
Situasi kemanusiaan di utara Gaza ketika ini disifatkan kritikal.
Ratusan ribu penduduk dipercayai masih kekal berada di lokasi mereka meskipun diarahkan oleh Israel untuk berpindah, susulan serangan kejam yang akan dilancarkan mereka.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak dapat lagi menghantar bantuan makanan ke utara sejak 23 Januari.
Pihak berkuasa Israel telah menafikan akses kepada konvoi bantuan PBB, yang telah ditembak oleh tentera mereka. - Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28