SHAH ALAM - Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kepada umum rakaman audio perbualan mana mana pihak adalah tidak wajar, kata seorang pengamal undang-undang, M Visvanathan.
M Visvanathan berkata, Langkah SPRM mendedahkan rakaman audio didakwa melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah tindakan luar biasa dan tidak diamalkan langsung.
"Katakanlah kalau perkara ini perlu disiasat dan pihak SPRM bukanlah badan yang akan menyiasat kandungan rakaman perbualan telefon antara mana-mana pihak.
"Kita tidak tahu sama ada betul-betul itu adalah identiti orang yang telah dikatakan sebagai bekas perdana menteri atau pun isterinya.
"Identiti pun kita tidak tahu sesiapa. Jadi perlu disahkan perbualan tersebut betul telah diadakan dan sama ada rakaman itu telah disunting atau sebaliknya," katanya mengulas mengenai pendedahan rakaman audio oleh SPRM hari ini.
Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya bertindak mendedahkan rakaman audio dikatakan antara Najib dan tujuh lagi individu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bekas anak syarikatnya, SRC International.
ARTIKEL BERKAITAN [VIDEO] SPRM bongkar audio konspirasi jenayah libatkan Najib, Rosmah
Latheefa berkata, rakaman itu melibatkan Najib, pegawai kerajaan dan dua individu dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan seperti ada konspirasi untuk memanipulasikan maklumat.
Mengulas lanjut, M Visvanathan yang juga merupakan Pengerusi Menghapuskan Kematian dan Dera Dalam Jagaan (Edict) berkata, apa yang jelas SPRM bukanlah badan yang akan menyiasat perkara berkenaan.
Menurutnya, sekiranya SPRM benar-benar memperoleh rakaman tersebut melalui sumber-sumber tidak dikenali, SPRM sepatutnya menghantar rakaman kepada polis untuk tindakan tanpa sebarang pendedahan umum.
"Sekarang sama ada betul atau tidak kandungan (rakaman audio) tersebut seolah-olah memburukkan mana-mana suspek sebelum tindakan undang-undang dimulakan.
"Jadi ini sebagai macam 'trial by media'. Ini tak bolehlah. Sebab dalam 'rule of law' kata, suspek perlu diberi peluang yang sebaik-baiknya untuk membela dirinya.
"Kalau kita sudah dedahkan rakaman ini orang itu tiada ada peluang sebab kita sudah cakap itu adalah orang-orang ini dan orang-orang ini (juga) sudah cakap sedemikian," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Najib terkejut audio didedah menjelang PRK Kimanis