HULU SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menziarahi lapan beradik yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19 pada 2021.
Ismail Sabri tiba kira-kira jam 2 petang di kediaman lapan beradik itu di Taman Adenium, Bukit Beruntung pada Selasa dan meluangkan masa lebih sejam bertanya khabar selain menyampaikan bantuan persekolahan dan menara gading disumbangkan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).
Ismail Sabri memberitahu, YKM ditubuhkan pada 2021 sempena 100 hari Pelancaran Keluarga Malaysia sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.
"Kita wujudkan YKM ini untuk membantu anak yatim dan yatim piatu yang mana ibu atau bapa atau ibu bapa atau penjaga mereka meninggal dunia akibat Covid-19," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Bapa kepada lapan beradik itu, Benyajeed Bernie meninggal dunia pada 16 Julai 2021, manakala isterinya Noraini Ibrahim meninggal dunia dua hari kemudian akibat Covid-19.
Pasangan tersebut meninggalkan lapan anak iaitu Nazurah Nabilah, 22; Muhamad Muzakkir, 21; Nurhani Nabilah, 19; Nurnasuhah Nabilah, 17; Muhammad Benjamin, 16; Muhammad Bennazir Sulaiman, 13; Nur Rawdah Nabilah, 11, dan Nur Qurratu Ain Nabilah, 7 tahun.
Pertama kali Ismail Sabri melawat lapan beradik yatim piatu ini ialah selepas ibu bapa mereka meninggal dunia pada tahun 2021.
Sejak itu, Ismail Sabri menyantuni anak-anak ini pada setiap kali Ramadan dan Aidilfitri.
Ujar beliau, seramai 589 anak-anak yang belajar di peringkat prasekolah bermula usia enam tahun sehingga mahasiswa ijazah pertama di institut pengajian tinggi menerima bantuan sebanyak RM300 setiap seorang.
Menurut Ismail Sabri, sumbangan itu telah dimasukkan ke dalam akaun bank penerima bermula pada Selasa dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM176,700.
"Anak-anak yang layak menerima bantuan ini dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp dan surat yang di pos ke alamat rumah masing-masing.
"Seperti mana yang telah kita janjikan dulu, mereka yang terdiri dalam kalangan anak-anak golongan B40 akan dibantu sehingga mereka tamat pengajian universiti.
"Bagaimanapun, sekiranya mereka tidak meneruskan pelajaran, bantuan mereka akan ditamatkan apabila usia mereka 18 tahun," jelas beliau.
Tambah Ismail Sabri, selain dua bantuan itu, YKM akan terus menyalurkan bantuan-bantuan lain dan mengadakan program khusus untuk memastikan anak-anak terus terbela.
"YKM telah mengumpulkan lebih 5,000 data anak-anak yang kehilangan insan tersayang dan tumpuan kita memberi bantuan secara one-off bagi meringankan beban mereka menyambut Aidilfitri.
"Kita jangka bantuan kewangan ini dapat dimasukkan ke dalam akaun mereka pada pertengahan Ramadan tidak lama lagi,"
Sehubungan itu, beliau juga berharap syarikat korporat dapat menyumbang melalui YKM agar lebih banyak saluran bantuan dapat diberikan kepada golongan memerlukan.
"Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana menyambung apa yang telah saya ilhamkan dan terus membantu dari segi kewangan," jelas beliau.
Sementara itu, Nazurah Nabilah menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan serta bantuan YKM.
Menurut anak sulung daripada lapan beradik itu, dia terkejut apabila dimaklumkan Ismail Sabri berhasrat menziarahi mereka sekeluarga dan menyampaikan sumbangan.
"Saya rasa terharu, gembira dan berterima kasih atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan.
"Kami bertuah kerana ini kali kedua beliau berkunjung ke rumah dan prihatin dengan kebajikan kami sekeluarga," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28