Bayern Munich, PSG teruskan kemaraan

Iklan
Harry Kane. Foto Agensi

PENJARING terbanyak Bayern Munich, Harry Kane menjaringkan satu gol dalam setiap separuh masa untuk mengemudi gergasi Bundesliga Jerman itu ke suku akhir selepas menang 3-0 ke atas Lazio dari Serie A Itali di Allianz Arena.

Gol bintang England itu pada minit ke-38 dan m-66 diikuti jaringan Thomas Mueller (m-47) sudah cukup membolehkan kelab kendalian Thomas Tuchel melepasi fasa pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara dengan agregat 3-1 selepas tewas dalam perlawanan pertama sebelum ini.

Iklan
Iklan

Kemenangan itu memberikan kelegaan serta-merta kepada Tuchel dan pasukannya yang hanya memenangi satu daripada lima perlawanan terakhir dalam semua pertandingan sebelum ini dan kini ketinggalan 10 mata dari puncak Bundesliga yang dipimpin kuasa baharu bola sepak Jerman, Bayer Leverkusen.

Dua gol itu juga menyaksikan Kane kini mempunyai 27 gol Liga Juara-Juara, dengan Wayne Rooney satu-satunya pemain Inggeris yang menjaringkan lebih banyak gol dalam kejuaraan tersebut (30 gol).

Iklan

Sementara itu, dua gol Kylian Mbappe memastikan juara Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan kemenangan selesa 2-1 ke atas Real Sociedad dalam perlawanan kedua di Reale Arena, San Sebastian.

Gol kapten Perancis pada minit ke-15 dan m-56 itu memadam rembatan lencong m-89, Mikel Merino untuk kemenangan agregat 4-1 setelah menang dua gol tanpa balas dalam perlawanan pertama sebelum ini.

Iklan

PSG yang membida untuk memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara pertama tampak lebih berdisiplin memanfaatkan sepenuhnya peluang daripada serangan balas berdepan Real Sociedad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!